Rampas, sita iklan vape

SHAH ALAM 20 Mei  – Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diarah mengambil tindakan segera merampas dan menyita sebarang iklan berkaitan rokok elektronik (vape) di medium pengiklanan sama ada fizikal, papan iklan digital atau LED.

Tindakan itu selaras dengan peruntukan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852), yang secara jelas melarang sebarang bentuk pengiklanan, promosi dan penajaan berkaitan produk merokok elektronik.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, perkara itu diputuskan selepas beliau mempengerusikan mesyuarat penyelarasan berhubung cadangan mempertimbangkan pengharaman penjualan rokok elektronik di Selangor.

Katanya, mesyuarat meneliti pelbagai isu berkaitan penggunaan dan penjualan vape, termasuk cabaran penguatkuasaan, pelesenan, aspek perundangan, serta pemantauan di samping penjualan secara dalam talian.

“Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam akan mengadakan mesyuarat lanjutan dalam masa terdekat bagi membincangkan pilihan-pilihan dasar yang wajar dipertimbangkan sebelum cadangan akhir dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk diputuskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memberitahu, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited dalam melindungi kesihatan awam rakyat, khususnya generasi muda, daripada ancaman penggunaan rokok elektronik yang semakin membimbangkan.

“Berdasarkan Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022, dianggarkan hampir 14.9 peratus remaja lelaki 13 hingga 17 tahun di Malaysia adalah pengguna vape.

“Statistik ini amat membimbangkan dan mencetuskan keperluan mendesak untuk tindakan proaktif di peringkat negeri,” katanya.

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri ingin memastikan setiap dasar yang diperkenalkan mengambil kira impak terhadap kesihatan awam dan generasi akan datang.

“Kerajaan negeri juga amat mengalu-alukan peranan aktif ibu bapa, institusi pendidikan, masyarakat sivil serta agensi berkaitan di peringkat negeri dan Persekutuan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment