GCC gesa henti serang Gaza

RIYADH – Sidang Kemuncak Gabungan Negara Teluk (GCC)-Amerika Syarikat (AS) yang dihadiri Presiden Donald Trump menggesa serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza dihentikan selain menyatakan sokongan kepada Syria.

Sidang Kemuncak GCC-AS itu diadakan semasa lawatan serantau Trump ketika ini, lawatan pertamanya ke luar negara sejak memegang jawatan pada Januari lepas.

Dalam ucapannya pada sidang berkenaan, Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman menyifatkan hubungan dengan Washington sebagai ‘strategik’.

“Kami bekerjasama dengan AS untuk meredakan situasi di Gaza, menamatkan konflik dan mencari penyelesaian menyeluruh kepada isu Palestin,” titah baginda.

Tentera Israel terus melancarkan serangan kejam di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023, yang telah meragut lebih 52,900 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Kami menegaskan penghormatan kami terhadap kedaulatan Syria dan menyokong usaha kerajaan untuk mencapai keselamatan.

“Kami memuji keputusan Presiden Trump untuk menarik balik sekatan terhadap Syria yang akan meringankan penderitaan rakyat negara itu,” titah baginda lagi.

Amir Kuwait Sheikh Meshal Al-Ahmad Al-Sabah pula menyeru usaha masyarakat antarabangsa dipertingkat bagi memastikan keselamatan dan kestabilan Syria.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memelihara kedaulatan dan integriti wilayahnya, menamatkan penderitaan rakyat, serta menghentikan campur tangan asing dalam hal ehwal negara itu.

Baginda turut memuji pengumuman Trump mengenai pemansuhan sekatan terhadap Syria.

Pada Selasa, Trump dalam ucapannya di Forum Pelaburan Arab Saudi-AS 2025 di Riyadh berkata beliau akan mengarahkan pemansuhan sekatan ‘zalim dan melumpuhkan’ terhadap Syria bagi memberi peluang kepada Syria ‘meraih kegemilangan’.

Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa turut memuji usaha diplomatik berkesan Trump dalam mencapai keamanan dan kestabilan di Asia Barat serta dunia amnya.

Beliau menghargai keputusan Trump menarik balik sekatan ekonomi ke atas Syria dan berharap dapat memperluaskan kerjasama untuk mewujudkan rantau yang selamat, stabil dan makmur melibatkan semua negara.

Timbalan Perdana Menteri Oman Asa’ad bin Tarik Al-Said pula menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap krisis kemanusiaan di Gaza akibat pendudukan Israel selama beberapa dekad ke atas wilayah Palestin.

“Ketidakadilan yang berterusan ini di samping kegagalan masyarakat antarabangsa untuk mencapai keamanan yang adil adalah punca utama pelbagai cabaran di rantau ini,” katanya pada sidang kemuncak berkenaan.

Related posts

Leave a Comment