80 maut ketika gesaan hentikan serangan

GAZA – Ketika Sidang Kemuncak Gabungan Negara Teluk (GCC)-Amerika Syarikat (AS) menggesa serangan ke atas Semenanjung Gaza dihentikan, sekurang-kurangnya 80 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel semalam.

Israel dilaporkan memperhebatkan lagi pengeboman di Gaza ketika lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Asia Barat, sekali gus melenyapkan sebarang harapan mengenai gencatan senjata.

Petugas perubatan berkata, kebanyakan mangsa yang terkorban adalah wanita dan kanak-kanak, maut dalam serangan udara bertubi-tubi oleh Israel ke atas kawasan perumahan di Jabalia, utara Gaza.

Tentera Israel (IDF) semalam, turut mengeluarkan arahan pemindahan baharu kepada penduduk di beberapa kawasan di Bandar Gaza, memaksa ribuan rakyat Palestin meninggalkan tempat perlindungan mereka.

Berdasarkan peta diterbitkan IDF, ia membabitkan beberapa sekolah dan Hospital Shifa, iaitu hospital terbesar di Gaza, berdasarkan peta diterbitkan IDF.

Sejurus arahan terbabit dikeluarkan, saksi dan petugas perubatan berkata, pesawat Israel melancarkan beberapa serangan udara ke atas sasaran dalam Bandar Gaza.

Kementerian Kesihatan menerusi kenyataan berkata, sebahagian besar mangsa masih bergelimpangan atas jalan atau tertimbus di bawah runtuhan dan mereka tidak dapat dicapai pasukan penyelamat dan kecemasan awam.

IDF bagaimanapun enggan mengulas perkara terbabit, selain memaklumkan sedang menyemak laporan itu.

Laporan media Israel semalam, memetik pegawai keselamatan berkata mereka percaya ketua tentera Hamas, Mohammad Sinwar, bersama beberapa pegawai kanan lain terbunuh dalam satu serangan kelmarin.

Lokasi serangan itu, katanya, digambarkan IDF sebagai pusat arahan dan kawalan bawah tanah di Hospital Eropah di bandar Khan Younis, selatan Gaza.

Tiada pengesahan daripada IDF mahupun Hamas setakat ini. Saksi dan petugas perubatan semalam, memaklumkan jentolak menghampiri kawasan serangan di Hospital Eropah yang terkena serangan udara Israel, menyebabkan beberapa orang cedera.

Jihad Islam yang disokong Iran dan bersekutu dengan Hamas kelmarin melancarkan roket dari Gaza ke arah Israel.

Sejurus selepas itu, Israel membalas serangan terbabit, didahului dengan IDF mengeluarkan arahan pemindahan kepada penduduk di kawasan Jabalia dan berhampiran Beit Lahiya.

Hamas semalam, berkata serangan berterusan menunjukkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, tidak mahukan gencatan senjata.

Sebaliknya, beliau mahu ‘meningkatkan pencerobohan dan pembunuhan beramai-ramai ke atas orang awam bagi menggagalkan usaha gencatan senjata.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment