3,759 kes baharu, 34 korban di Thailand

BANGKOK 28 Mei – Sebanyak 3,759 kes baharu Covid-19 direkodkan dengan 34 lagi meninggal dunia di Thailand menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini meningkat kepada 144,976 dan 954 kematian.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), daripada jumlah kes baharu itu, 3,741 adalah jangkitan tempatan termasuk 1,294 kes di penjara seluruh negara manakala 18 lagi kes import.

Bangkok mencatatkan kematian tertinggi dengan 24 kes diikuti tiga di Samut Prakan diikuti Nakhon Si Thammarat (2) dan masing-masing satu di Chon Buri, Nakhon Ratchasima, Nakhon Sawan, Tak dan Roi Et. 

Bangkok juga mendahului kes jangkitan dengan 973 kes diikuti Phetchaburi (658), Samut Prakan (221), Nonthaburi (102) dan Samut Sakhon (55).

Lapan belas kes import melibatkan ketibaan dari lima negara iaitu 11 warga Thai yang pulang dari Kemboja, seorang warga Thai dari Malaysia, empat warga Thai dari India dan seorang warga Thai dari Oman.

Seorang lagi anak kapal dari Filipina dikuarantin di atas kapal selepas ketibaan dari Indonesia yang berlabuh di pesisiran Songkla.

Sementara itu kes sembuh bertambah 4,044 menjadikan jumlah keseluruhan 97,872 manakala yang menerima rawatan pula 46,150.

Related posts

Leave a Comment