LOS ANGELES – Angkasawan NASA Suni Williams dan Butch Wilmore, yang terkandas di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sejak Jun lalu, dijadualkan kembali ke Bumi dengan kapal angkasa Dragon SpaceX pada Selasa.
Rakan mereka dalam misi Crew-9 iaitu angkasawan NASA Nick Hague dan angkawasan Russia Roscosmos Aleksandr Gorbunov, juga sedang bersiap sedia untuk meninggalkan ISS berikutan ketibaan Crew-10 di makmal orbit itu.
NASA dan SpaceX mengadakan pertemuan pada Ahad untuk menilai keadaan cuaca dan lokasi pendaratan di luar pantai Florida bagi kepulangan angkasawan Crew-9.
Menurut jadual terkini, kapal angkasa yang membawa empat angkasawan dijadualkan untuk berpisah dari ISS pada 1:05 pagi Waktu Timur (0505 GMT) Selasa untuk memulakan perjalanan pulang. Kapal angkasa itu dijadualkan untuk mendarat di luar pantai Florida pada 5:57 petang Waktu Timur (2157 GMT) Selasa.
Menurut NASA, pengurus misi akan terus memantau keadaan cuaca di kawasan itu, kerana proses Dragon berpisah daripada dok bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk kesediaan kapal angkasa, kesediaan pasukan pemulihan, cuaca dan keadaan laut.
Williams dan Wilmore terkandas di angkasa sejak Jun lalu disebabkan masalah teknikal Starliner Boeing, yang membawa mereka ke ISS.