KUALA LUMPUR 21 April – Penyelarasan sistem kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang akan bermula Januari depan. dapat mengurangkan pertindihan tawaran serta mengelakkan pembaziran tempat yang diperuntukkan kepada pelajar.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Norliza Abul Rahim yang menyokong penuh langkah itu berkata, cadangan itu adalah satu langkah bijak dan berpandangan jauh .
Katanya, ia dalam memastikan sistem pendidikan berasrama yang sedia ada berfungsi secara lebih efisien serta memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar .— khususnya mereka yang benar-benar berminat dan berpotensi dalam jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu berkata, penyelarasan ini akan mengurangkan pertindihan tawaran serta mengelakkan situasi di mana tempat yang diperuntukkan kepada pelajar di MRSM terbiar kosong apabila mereka beralih ke SBP dalam pengambilan seterusnya.
“Keadaan ini amat merugikan kerana ramai lagi pelajar dalam senarai menunggu yang sanggup menerima tawaran, namun tidak berpeluang berbuat demikian disebabkan sistem sedia ada yang tidak membenarkan pengisian semula kekosongan selepas tarikh akhir ditetapkan.
“Saya percaya, dengan adanya sistem penyelarasan yang lebih mantap, institusi pendidikan seperti MRSM dan SBP dapat merancang pengambilan pelajar dengan lebih tersusun dan tepat,” katanya dalam kenyataan.
Norliza berkata, langkah itu juga secara langsung, akan membantu negara mencapai sasaran 70 peratus kemasukan pelajar dalam bidang STEM, sebagaimana yang digariskan oleh Perdana Menteri demi memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan.
“Usaha kerajaan ini merupakan satu langkah signifikan dalam memperkukuh sistem pendidikan negara demi masa depan anak-anak kita dan kesejahteraan generasi akan datang” katanya.
Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata sistem kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) akan diselaraskan mulai pengambilan Januari tahun hadapan.
Ahmad Zahid berkata pemohon masih boleh memohon ke kedua-dua institusi pendidikan tersebut, namun selepas ini mereka hanya akan menerima satu tawaran sahaja bagi mengelakkan pertindihan.
Pada masa ini, pemohon mungkin menerima dua tawaran, khususnya pelajar yang memohon ke MRSM dan SBP.
Nnnn