Kerjasama PH, BN, GRS demi kestabilan

TAWAU 11 Mei –   Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang amat penting bagi menjamin kestabilan politik peringkat nasional dan Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, kerjasama itu masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan lagi.

“Kenyataan berhubung kesepakatan PH, BN Sabah sebelum ini hanya di peringkat antara kedua-dua parti itu dan belum melibatkan GRS.

“Kita (ingin) bekerjasama dengan tentunya UMNO-BN dan GRS sebab itu saya datang (ke Tawau) juga dan mengadakan beberapa perbincangan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji supaya ada kesepakatan antara GRS, PH dan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah di sini hari ini yang turut dihadiri  Pengerusi MPN PKR Sabah yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mustapha Sakmud.

Anwar berkata ketika mesyuarat di peringkat PH dan BN Sabah, beliau telah memaklumkan kepada ahli mesyuarat akan ke Tawau untuk bertemu dengan Hajiji bagi membincangkan hal kesepakatan ketiga-tiga parti itu.

“Jadi, itu saya nak jelaskan. Mengapa hal itu perlu? Kerana bagi kita, keutamaan ialah kestabilan politik nasional dan negeri dan keduanya, hubungan negeri dengan Persekutuan harus baik,” katanya.

Ditanya sama ada PH optimis dapat bekerjasama dengan GRS pada PRN akan datang, Anwar berkata: “Saya boleh bercakap bagi pihak PH dan saya optimis kerana saya telah membuat perbincangan dan saya lihat perkara ini sangat positif…daripada (bagi pihak) GRS biarlah mereka yang menentukan,”.

Media sebelum itu melaporkan BN dan PH sepakat menjalin kerjasama dalam PRN17 Sabah menerusi kenyataan bersama Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan  Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PH  Saifuddin Nasution Ismail.

Susulan itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata parti berkenaan sedia bertanding secara solo dan memfokuskan kerjasama dengan parti tempatan lain yang sehaluan pada PRN17 sekiranya keputusan muktamad PH dan BN Sabah bekerjasama pada PRN17.

Related posts

Leave a Comment