PKR harap masih ada perbincangan PRN

KOTA KINABALU 10 Mei – PKR Sabah masih berharap ada perbincangan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) di negeri itu, kata Ketuanya, Mustapha Sakmud.

Beliau berkata kerjasama dengan GRS penting bagi mengelak pergeseran dan pertembungan yang tidak selari dengan amalan Kerajaan Perpaduan sekarang.

Justeru beliau berharap, akan ada perbincangan mengenai perkara itu di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Ketua Menteri Sabah,  Hajiji Noor apabila kedua-dua pemimpin berkenaan bertemu sempena Program Madani Rakyat di Tawau, esok.

“Soal kerusi kita boleh berunding dan kita faham hasrat GRS yang mahu menjadi tunjang kepada kerajaan negeri, tapi itu kita boleh bincang. Apa yang penting jangan kita wujudkan pergeseran sehingga kita bertembung, jadi kita masih lagi membuka ruang untuk bekerjasama dengan GRS terutamanya,” katanya selepas melancarkan Karnival Pendidikan, Kemahiran dan Kerjaya Borneo, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi diminta mengulas sama ada PKR dan PH masih mahu berbincang dengan GRS selepas pemimpin Pusat PH dan BN mengumumkan kerjasama kedua-dua pihak untuk menghadapi PRN17.

Ahli Parlimen Sepanggar itu bagaimanapun akur jika GRS memutuskan bergerak solo pada PRN17 nanti seperti dinyatakan Hajiji selaku Pengerusi GRS, semalam.

“Ini politik, jadi kalau akhirnya mereka mahu bergerak solo itu terpulang kepada GRS dan kita bersedia dengan segala kemungkinan itu.

“Dalam politik itu biasa, kita cuba mengelakkan tapi kalau sudah berlaku pertembungan kita terpaksa berdepan. Jadi, terpulang kepada kepada rakyat Sabah membuat pilihan nanti,” katanya.

Mengenai kerjasama BN-PH, Mustapha berkata, perkara itu memang sudah diputuskan di peringkat pimpinan tertinggi parti dan diturunkan ke peringkat bawah sebelum PH Sabah mengeluarkan kenyataan bersama semalam.

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama BN-PH sebagai refleksi tunjang parti komponen Kerajaan Madani Persekutuan yang mahu dibawa ke Sabah.

“Tapi, pandangan saya kita perlu juga buka ruang ini kepada parti yang berasaskan tempatan kerana kadang-kadang kita lupa dalam PH ada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan dalam BN ada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

“Jadi kita sebenarnya bukan gabungan kedua-dua parti nasional, tapi kita adalah gabungan parti nasional dan juga parti tempatan, itulah sebenarnya PH-BN itu dan ia adalah tunjang kepada Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Madani di peringkat Pusat,” katanya.

Atas sebab itu, katanya PKR Sabah berpandangan perlunya ada perbincangan dengan parti tempatan Sabah dalam kerjasama BN-PH bagi menghadapi PRN17 itu nanti.

Related posts

Leave a Comment