BN pertahan kerusi dimenangi di Melaka

MELAKA 10 Mei – Setakat ini, UMNO kekal dengan prinsip asas disepakati Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) supaya mempertahankan kerusi masing-masing yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu.

Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata justeru, BN tetap bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dikuasai parti itu.

“Prinsip asas disepakati pimpinan BN dan PH ialah kerusi dimenangi kekal dengan parti tersebut. Di Melaka, BN kekal 21 kerusi dan PH lima kerusi, manakala dua kerusi Perikatan Nasional (PN) akan dirundingi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, mengulas desakan DAP Melaka yang mahu pembahagian kerusi DUN dibuat menerusi kaedah 14 BN dan 14 PH pada PRN yang dijangka diadakan pada akhir tahun depan.

Bagaimanapun keputusan muktamad mengenai pengagihan kerusi akan ditentukan oleh kedua-dua pengerusi iaitu Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

“Ketika ini lebih baik fokuskan segala usaha dan upaya untuk menangani pelbagai isu untuk membantu rakyat dan memakmurkan serta negara,” katanya.

Kelmarin, pelbagai pihak menolak cadangan DAP menerusi laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang bertajuk ‘9 Cawangan DAP Melaka meluluskan resolusi strategi 14 BN + 14 PH pada PRN Melaka akan datang.’

Cawangan itu ialah Bukit Beruang, Ayer Keroh, Kampung Baru Ayer Keroh, Merdeka Jaya, Sunshine, Taman Muzaffar Shah, Bukit Beruang Indah, Kubu dan Taman Kerjasama yang kesemuanya dalam Parlimen Hang Tuah Jaya.

Dalam satu kenyataan bersama, semua cawangan itu menyokong supaya PH dan BN masing-masing bertanding 14 daripada 28 kerusi DUN di Melaka, selari semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan.

Susulan itu Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, dilapor mengingatkan PH Melaka supaya tidak terlalu berharap untuk bertanding di kerusi DUN yang dimenangi BN pada PRN lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menegaskan BN yang ketika ini mendominasi kerusi DUN di Melaka, tidak akan melepaskan kerusi dimenangi pada PRN lalu kepada PH, termasuk cadangan pembahagian kerusi 14 BN dan 14 PH.

Melaka mempunyai 28 DUN membabitkan 21 dikuasai BN, PH (lima) dan PN (dua). Untuk rekod, tempoh penggal DUN Melaka dijadualkan berakhir pada November tahun depan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment