251 calon tawar diri, 12 Naib Presiden

KUALA LUMPUR 10 Mei – Sebanyak 251 calon menawarkan diri bertanding pada Pemilihan PKR 2025 bagi merebut tempat dalam senarai pimpinan peringkat Pusat, termasuk sayap Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Daripada jumlah itu, 104 pencalonan diterima bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), 85 bagi Majlis Pimpinan AMK dan 61 bagi Majlis Pimpinan Wanita PKR.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustafa, berkata penyertaan memberangsangkan itu membuktikan PKR tidak ketandusan bakat pelapis.

Katanya, penyertaan seramai itu dapat mengukuhkan lagi kedudukan PKR sebagai wadah perjuangan yang sentiasa memberi ruang kepada tokoh baharu dalam memperkasakan demokrasi dalaman parti.

Beliau memberitahu tempoh bantahan berlangsung selama dua hari bermula esok, diikuti dengan proses rayuan terhadap sebarang bantahan pada 13 dan 14 Mei. Senarai akhir calon peringkat Pusat akan dimuktamadkan pada 15 Mei.

Tempoh rasmi berkempen pula akan bermula sejurus selepas senarai dimuktamadkan dan akan berakhir pada 22 Mei, pukul 11.59 malam.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan calon supaya sentiasa mematuhi segala peraturan dan tata etika pemilihan seperti ditetapkan, dengan mengamalkan kempen berhemah, matang dan saling menghormati.

Katanya , pemilihan tu perlu menjadi ruang memperkukuhkan saf perjuangan dalam semangat kekeluargaan yang telah menjadi asas PKR sejak sekian lama.

“JPP merakamkan penghargaan kepada semua calon dan anggota parti yang terus komited menjayakan proses pemilihan kali ini secara tertib, telus dan penuh integriti. Komitmen ini adalah cerminan kekuatan sebenar PKR sebagai parti yang terus mara ke hadapan bersama rakyat,” katanya.

Sementara itu, selepas pencalonan berakhir 11.59 malam tadi, Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak dicabar bagi jawatan Presiden PKR manakala jawatan Timbalan Presiden bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dengan penyandang, Rafizi Ramli.

Dua belas orang pula disenaraikan sebagai calon Naib Presiden iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun ; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Besar Selangor  Amirudin Shari.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi R Ramanan; Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin; Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran; Ketua Cabang PKR Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan.

Ketua Cabang PKR Hulu Rajang/Ahli Dewan Negara, Abun Sui Anyit; bekas Exco Selangor Hee Loy Sian; Pengerusi Institut Keusahawanan Negara Mustaffa Kamil Ayub dan Ketua Cabang PKR Jempol Manivanan Gowin.

 

Related posts

Leave a Comment