RAMALLAH – Kementerian Luar Pihak Berkuasa Palestin (PA).mengecam keputusan Israel mengiktiraf lebih daripada 12 penempatan baharu di Tebing Barat yang diduduki dengan menaik taraf kawasan kejiranan sedia ada kepada status penempatan bebas.
Keputusan yang dibuat Kabinet Keselamatan Israel itu disifatkan ‘penghinaan’ terhadap pengiktirafan antarabangsa dan resolusinya’.
Bagaimanapun Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, seorang pemimpin sayap kanan dan penyokong kuat penempatan itu meraikan keputusan Kabinet sebagai satu ‘langkah penting’ bagi memperkukuh penempatan Israel di Tebing Barat.
Smotrich adalah antara penyokong utama yang menggesa Israel secara rasmi memaksa penggabungan Tebing Barat, seperti mana dilakukan terhadap Baitulmaqdis Timur, juga tindakan yang tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa.
“Pengiktirafan setiap (kejiranan) sebagai komuniti berasingan… adalah langkah penting yang akan membantu pembangunan mereka,” kata Smotrich dalam satu kenyataan di Telegram sambil menyifatkannya sebagai satu ‘revolusi’.
Daripada bersembunyi dan meminta maaf, kita mengibarkan bendera, kita membina dan kita menetap.
“Ini adalah satu lagi langkah penting ke arah kedaulatan ‘de facto’ di Judea dan Samaria,” katanya menggunakan nama Yahudi untuk Tebing Barat.
Tebing Barat, yang diduduki Israel sejak 1967, menempatkan kira-kira tiga juta rakyat Palestin serta hampir 500,000 penduduk Israel yang tinggal di penempatan yang ditakrifkan menyalahi undang-undang antarabangsa.
Sementara Hamas ‘mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Smotrich sambil menyifatkannya sebagai bukti penempatan Israel adalah sebahagian daripada ‘projek penggantian kaum bersifat menindas’.
Dalam kenyataannya, Kementerian Luar Palestin turut merujuk kepada operasi ketenteraan besar-besaran Israel yang sedang berlangsung di utara Tebing Barat, dengan mendakwa ia disertai dengan ‘peningkatan luar biasa dalam perampasan tanah Palestin’.
Kawasan ke-13 penempatan yang diluluskan untuk pembangunan oleh kabinet Israel terletak di seluruh Tebing Barat.
Sebahagian daripadanya secara efektif adalah sebahagian daripada penempatan yang lebih besar, manakala yang lain hampir berfungsi sebagai komuniti berasingan.
Namun, pengiktirafan mereka sebagai komuniti yang berasingan di bawah undang-undang Israel masih belum muktamad.
Dalam pada itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Israel Peace Now yang menentang penempatan di Tebing Barat, mengecam keputusan itu, sambil menyifatkannya sebagai ‘satu lagi paku di keranda’ bagi harapan penyelesaian dua negara.
“Ini membuktikan Israel tidak pernah ikhlas apabila membincangkan rumusan penyelesaian dua negara di mana Palestin wujud secara bersebelahan dengan Israel.
“Tindakan ini mendedahkan pembohongan sekian lama Israel bahawa ia tidak menubuhkan penempatan baharu, tetapi hanya ‘kejiranan’ dalam penempatan sedia ada,” kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan.
Nn
