SEPANG 5 Mei – Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mengesahkan keputusan Pemilihan 2025 di peringkat ahli jawatankuasa Cabang, Wanita Cabang dan AMK Cabang untuk kesemua 220 cawangan yang mengadakan mesyuarat agung masing-masing.
Setiausaha Agung Keadilan, Dr Fuziah Salleh berkata, keputusan muktamad untuk pemilihan itu dipamerkan mulai hari ini di https://keputusan.keadilanrakyat.org/
Katanya, pengesahan itu dibuat pada mesyuarat MPP petang semalam yang berpuas hati selepas mendengar pembentangan dari Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) serta laporan Juru Audit Digital Antararabangsa pihak ketiga.
Untuk rekod, terdapat rungutan berkaitan pemilihan apabila ada yang mendakwa keputusan pemilihan ibarat ‘badan ada, kepala dicantas’ membabitkan kumpulan tertentu pada peringkat cabang, sehingga beberapa calon mengemukakan rayuan.
Sekurang-kurangnya lima pemimpin PKR yang tewas pada peringkat cabang tampil mengemukakan bantahan iaitu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Tindakan sama diambil Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat (Selayang) dan Ahli Parlimen Sungai Siput, Kesavan Subramaniam.
Sementara itu, mesyuarat MPP juga mengesahkan tarikh-tarikh penting dalam menghadapi Kongres Tahunan 2024 & 2025 yang akan berlangsung pada 22, 23 dan 24 Mei ini di Persada International Convention Centre (PICC) Johor Bharu.
“ Kongres tahunan ini akan menerima kehadiran lebih kurang 10,000 perwakilan yang akan mengundi secara fizikal untuk memilih Majlis Pimpinan Pusat manakala lebih 20,000 perwakilan mengundi secara atas talian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga memaklumkan calon Ketua Cabang yang kalah layak menghantar perwakilan ke Kongres di mana jumlahnya mengikut kadar peratus undi yang diterima semasa pemilihan sebelum ini.
“Prinsip yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua akan menyemarakkan lagi proses demokrasi di Pemilihan 2025 pada Kongres kali ini,” katanya.
MPP juga dimaklumkan bahawa satu jelajah Pra Kongres ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan digerakkan oleh ibu pejabat untuk memastikan perwakilan menerima maklumat tepat dan komprehensif dalam membuat persiapan .
Ibu pejabat juga akan menyediakan platform khas sewaktu Jelajah Pra Kongres untuk semua calon MPP bertemu dengan para perwakilan dan memperkenalkan diri masing-masing sebagai calon.
Nnn
