SEPANG 5 Mei – Keputusan muktamad Pemilihan PKR 2025 beberapa nama besar tewas pada pemilihan peringkat Cabang parti baru-baru ini, selepas mereka dilaporkan mengemukakan rayuan.
Keputusan pemilihan sebelum ini kekal setelah mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) petang semalam mengesahkannya dan keputusan penuh disiarkan mulai hari ini melalui laman web parti itu.
Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa, selepas tewas kepada pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki.
Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar memperoleh 563 undi (47.15 peratus), berbanding Afdlin, 631 undi (52.85 peratus).
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, pula gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Johor Bahru selepas tewas kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohamad Taufiq Ismail.
Akmal Nasrullah, yang juga Pengarah Strategi PKR memperoleh 587 undi (45.12 peratus), manakala Mohamad Taufiq memperoleh 709 undi (54.88 peratus).
Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung gagal dalam saingan merebut jawatan Ketua Cabang Petaling Jaya, selepas memperoleh 2,684 undi (48.07 peratus), berbanding penyandang jawatan, Hee Loy Sian dengan 2,900 undi (51.93 peratus).
Di Perak, Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan, disahkan tewas kepada pencabarnya, K Novinthen seleps beliau memperoleh 357 undi (47.86 peratus), berbanding Novinthen, 389 undi (52.14 peratus).
Sebelum ini, media melaporkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR menerima sejumlah bantahan dan rayuan daripada ahli yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan di peringkat Cabang.
JPP kemudian memutuskan mengadakan pemilihan semula bagi empat Cabang, membabitkan Cabang Selayang, Jempol, Silam dan Pasir Salak, yang berlangsung pada Khamis lalu.
Pengundian semula pemilihan itu menyaksikan perubahan keputusan bagi tiga jawatan Ketua Cabang, membabitkan Ketua Cabang di Selayang yang dimenangi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat, selain Manivanan Gowin yang juga Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR menang di Jempol dan Hisamuddin Ali di Pasir Salak.
Bagaimanapun, pemilihan semula untuk jawatan Ketua Cabang Silam menyaksikan Romansa Lamin mempertahankan kemenangan.
Nnnn
