KUALA LUMPUR 2 Mei – Penjualan dan pengedaran vape perlu dilihat sebagai cabaran keselamatan negara kerana ia membuka ruang kepada pengaruh industri dadah dalam masyarakat arus perdana.
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berkata, vape bukan isu gaya hidup, dan bukan sekadar perniagaan biasa, sebaliknya wajah baharu industri tembakau yang menjadi ancaman serius kepada kesihatan awam dan keselamatan.
Justeru, FOMCA dalam kenyataannya menggesa kerajaan mengambil langkah tegas, termasuk mengharamkan penjualan vape serta menguatkuasakan kawalan bahan di bawah undang-undang farmasi dan narkotik.
FOMCA juga meminta semua pihak kerajaan, media, masyarakat sivil dan pengguna tidak terpedaya dengan muslihat industri vape yang kononnya menyokong ekonomi tempatan sedangkan ia membawa ancaman besar terhadap kesihatan dan masa depan rakyat Malaysia.
Menurut FOMCA, lebih 90 peratus pengeluaran dan pasaran produk vape di negara ini dikuasai oleh syarikat yang berkait rapat dengan industri tembakau global, yang jelas mengutamakan keuntungan berbanding kesihatan rakyat.
“Industri ini menggunakan taktik halus dengan menyamar sebagai pembela perusahaan tempatan bagi menggagalkan dasar kesihatan awam. Ia strategi berbahaya yang mengeksploitasi sentimen nasional untuk melindungi perniagaan yang merosakkan kesihatan rakyat, terutama golongan muda,” kata FOMCA
FOMCA juga menyokong pendedahan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berhubung sindiket dadah yang kini menyasarkan penggunaan vape sebagai medium memasukkan bahan ketagihan demi membentuk pelanggan tegar.
“Ini menjadikan vape bukan sekadar bahaya kepada kesihatan, tetapi kini menjadi pintu masuk kepada penyalahgunaan dadah. Produk ini dipasarkan secara terbuka dengan rekaan menarik, menyasarkan remaja dan kanak-kanak,” kata FOMCA.
Jika situasi ini tidak ditangani segera, ia berisiko melahirkan generasi baharu yang terperangkap dalam ketagihan berganda iaitu nikotin dan dadah.
Malah, sasaran kerajaan untuk menurunkan kadar perokok kepada 15 peratus menjelang 2025 melalui Pelan Strategik Kawalan Tembakau dan Produk Merokok 2021–2030 juga dikhuatiri tidak dapat dicapai.
Laporan NHMS 2023 menunjukkan kadar semasa masih 19 peratus, jika industri vape terus dilayan sebagai perniagaan sah, sasaran Tobacco Endgame 2040 juga akan gagal.
Nnnn