SEPANG 2 Mei – Awal pagi ini, seramai 351 jemaah haji kumpulan pertama yang dikendalikan Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji musim ini.
Penerbangan menerusi pesawat Saudia Airlines itu terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah.
Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah hadir di Kompleks Tabung Haji (TH) Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA bagi mengucapkan selamat berangkat kepada jemaah kendalian pihaknya.
Hadir sama Pengarah Pemasaran Digital Andalusia, Izzati Ibrahim.
Andalusia adalah salah satu syarikat Pengendali Jemaah Haji (PJH) yang mendapat kelulusan TH untuk mengendalikan perjalanan ibadah haji pada musim ini.
Md Daud ketika bercakap kepada media memberitahu penerbangan yang khusus untuk jemaah Andalusia itu adalah sebahagian daripada 570 jemaah yang akan dikendalikan pihaknya secara berperingkat.
“Kumpulan pertama ini agak istimewa kerana mereka akan berada di Madinah dahulu yang mana ketika ini keadaan di sana kurang sibuk dan tidak terlalu ramai orang.
“Jadi, peluang jemaah untuk memasuki Raudah lebih mudah dan kurang sesak selain berkemungkinan mendapat layanan baik daripada pihak Arab Saudi. Lebih-lebih lagi Arab Saudi sering memberikan tumpuan istimewa kepada jemaah Malaysia, kita mungkin dilayan lebih baik,” katanya.
Katanya, kumpulan berikutnya adalah seramai 45 orang yang dijadualkan pada 6 Mei disusuli pada 27 Mei seramai 35 orang dan seterusnya 84 orang.
Pada musim 1446H/2025M ini Andalusia menyediakan empat pakej haji kepada jemaah yang memilih agensi itu pada harga serendah RM43,990 dan tertinggi RM102,990.
Tawaran untuk penginapan selama 40 hingga 45 hari itu merangkumi pakej baharu iaitu Marsa di samping pakej sedia ada, Malak, Olayan serta Safwah.
Sementara itu, Md. Daud mengucapkan terima kasih kepada jemaah yang memberi kepercayaan kepada Andalusia dan berdasarkan pencapaian lalu, mereka tidak perlu meragui perkhidmatan bakal ditawarkan Andalusia.
Beliau berkata, sesuai dengan peluang haji hanya sekali, Andalusia mengingatkan kepada para petugasnya terutama mutawif supaya memberi bimbingan secukupnya kepada jemaah untuk menunaikan haji dengan sempurna.
“Kami mempunyai sistem merit dan dimerit, kalau perkhidmatan baik, akan dapat merit daripada TH, jika sebaliknya, kami akan didenda dan visa mungkin tidak dikeluarkan,” katanya.
Katanya, kecemerlangan dipamerkan Andalusia sejak 2007 mengendalikan jemaah haji menyebabkan keyakinan jemaah terus meningkat.
“Kita telah urus jemaah dengan baik sejak 2007 selain menawarkan makan minum, penginapan, pengangkutan dan kerja kebajikan yang baik bagi memastikan ibadah haji jemaah sempurna.
“Jadi, kami rasa itu jaminan yang diberikan Andalusia kepada jemaah bagi memastikan nama baik syarikat terus dipelihara,” katanya.
Nnn
