KUALA LUMPUR 2 Mei – Syarikat minyak dan gas nasional, Petronas mengesahkan anak syarikatnya, Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) telah menerima notis daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak pada 30 April lalu berhubung pemprosesan dan pengedaran gas.
Petronas menjelaskan, PCSB diberi kuasa mengikut undang-undang di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 untuk menjalankan aktiviti syarikat dan mematuhi semua undang-undang yang terpakai dalam berbuat demikian.
Menurut Petronas, walaupun menghormati aspirasi Negeri Sarawak, syarikat juga mempunyai kewajipan untuk menegakkan PDA 1974 itu dan menjaga kepentingan negara.
“Petronas akan terus terbabit secara konstruktif dan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dalam meneroka pengaturan masa depan bagi memastikan kejelasan peraturan dan kesinambungan operasi untuk manfaat industri, negeri dan negara secara keseluruhan.
“Kami juga komited untuk memastikan bahawa hak dan kepentingan semua pihak, termasuk pengguna akhir dan pelabur, ditangani dengan sewajarnya,” kata syarikat itu dalam satu maklum balas susulan beberapa laporan media mengenai notis itu.
Dilaporkan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak telah menghantar surat tuntutan kepada PCSB atas dakwaan melakukan pelanggaran atau ketidakpatuhan terhadap Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.
Pelanggaran itu membabitkan operasi loji milik PCSB di Miri Crude Oil Terminal (MCOT) di Lot 915-916, Lorong 1A-1A, Desa Senadin, 98100 Miri, Sarawak.
Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak mendakwa, loji berkenaan beroperasi secara haram atau tanpa permit di bawah Seksyen 7(e) DGO 2016.
Kerajaan negeri itu juga memberi tempoh selama 21 hari dari tarikh surat berkenaan, yang bertarikh 30 April 2025, untuk PCSB mendapatkan lesen atau berdepan penalti kewangan.