KM tolak peletakan jawatan, Akmal kekal Exco

MELAKA 8 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau Dr Akmal Saleh akan meneruskan tanggungjawabnya sebagai Exco Kerajaan Negeri seperti biasa selepas peletakan jawatannya pada Januari lalu ditolak.

Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh berkata, beliau menolak peletakan jawatan itu dan Dr Akmal kekal sebagai Exco Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Saya nak beritahu, beliau telah mengemukakan surat peletakan jawatan sejurus selepas membuat pengumuman tersebut.

“Tetapi saya membuat keputusan untuk menolak peletakan jawatan itu supaya beliau dapat meneruskan tugas sebagai Exco Kerajaan Negeri,” katanya ketika mengulas status peletakan jawatan Ketua Pemuda UMNO itu.

Ab Rauf ditemui selepas mengadakan lawatan ke Empangan Jus di Jasin hari ini.

Beliau menegaskan bahawa kuasa untuk menerima atau menolak peletakan jawatan adalah terletak di tangan Ketua Menteri.

Katanya, hak untuk menerima atau menolak adalah hak Ketua Menteri.

Akmal pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 15 Januari lalu mengumumkan keputusan meletakkan jawatan sebagai Exco Melaka.

Beliau bagaimanapun menjelaskan akan kekal dengan jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Keputusan itu dibuat bagi menyahut pemimpin DAP yang sebelum ini menuntutnya mengambil pendirian sedemikian, susulan gesaan supaya UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.

Related posts

Leave a Comment