PUTRAJAYA 30 April – Mulai esok, 1 Mei 2025, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bekerjasama melaksanakan inisiatif Penandaan Harga Ubat di Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta dan Farmasi Komuniti.
Menurut kenyataan bersama KKM dan KPDN, inisiatif itu dilaksanakan sejajar dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk melaksanakan agenda ketelusan harga melalui Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU).
“Ia bertujuan untuk memastikan rakyat mempunyai pilihan bermaklumat dengan mengetahui, membuat perbandingan dan memilih harga yang terbaik dalam merancang perbelanjaan ubat-ubatan.
“Inisiatif ini akan dilaksanakan melalui Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
“Fasiliti yang terbabit adalah semua kemudahan jagaan kesihatan swasta yang tertakluk di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] yang menjual, membekalkan atau memberikan ubat-ubatan serta farmasi komuniti,” kata kenyataan bersama itu.
Menurut kenyataan itu juga, skop penandaan harga ubat merangkumi semua ubat untuk kegunaan manusia termasuk ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi atau tidak, ubat melalui kaunter, ubat tradisional, suplemen kesihatan dan sediaan yang dibancuh.
Penandaan harga ubat hendaklah dilakukan dalam bentuk senarai harga atau tanda harga, manakala ubat-ubatan yang dipamerkan untuk jualan dan boleh diakses oleh pengguna, hendaklah dilabel tanda harga pada ubat itu.
Manakala ubat yang tidak dipamerkan atau diletakkan di belakang kaunter yang tidak boleh diakses atau dilihat oleh pengguna pula hendaklah dipaparkan dalam bentuk senarai harga jualan.
Senarai harga jualan ubat boleh dipaparkan dalam bentuk fizikal di fasiliti kesihatan terbabit dalam bentuk katalog, papan kenyataan atau skrin elektronik.
Sementara itu, fasa awal pemantauan dan penguatkuasaan perintah ini akan menggunakan pendekatan penguatkuasaan pendidikan secara berfasa untuk tempoh tiga bulan.
Kenyataan itu menyebut langkah ini diambil untuk memastikan aktiviti penguatkuasaan dijalankan secara berhikmah, ihsan dan berkesan, bagi membolehkan setiap fasiliti kesihatan swasta membuat penyesuaian dan pembaharuan secara berperingkat.
“Pemeriksaan akan dijalankan dari semasa ke semasa dengan pendekatan advokasi bagi memastikan pematuhan terhadap perintah ini, manakala penguatkuasaan penandaan harga ubat-ubatan akan dilaksanakan oleh KKM dengan panduan dan kerjasama KPDN,” menurut kenyataan itu.
Bagi sebarang maklumat lanjut, soalan lazim boleh diakses melalui portal rasmi Program Perkhidmatan Farmasi, KKM di www.pharmacy.gov.my.
Sebarang persoalan, boleh diemelkan ke alamat chu@moh.gov.my dan sebarang aduan pengguna berkaitan isu harga ubat boleh disalurkan melalui platform-platform Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKM https://moh.spab.gov.my atau Portal eAduan KPDN: https://eaduan.kpdn.gov.my/