GAZA – Pembunuhan terus berlaku apabila tentera Israel membunuh 31 penduduk Palestin di Gaza dan dua lagi di Lubnan, manakala sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh akibat serangan udara Amerika Syarikat (AS) di sebuah pasar di Yaman.
Serangan udara terbaharu AS di ibu negara Yaman, Sanaa, mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan 30 yang lain.
Kementerian Kesihatan dikendalikan kumpulan Houthi berkata, mangsa yang maut dan cedera adalah akibat serangan AS pada waktu malam ke atas sebuah pasar dan kawasan kediaman di daerah Farwa, Sanaa.
Serangan lain turut dilaporkan berlaku semalam di wilayah tengah Marib, Hodeida di barat dan kubu kuat Houthi di Saada di utara.
Tentera AS melancarkan serangan hampir setiap hari sejak sebulan lalu, dengan alasan menyasarkan kumpulan Houthi yang disokong Iran bagi menghentikan serangan ke atas kapal-kapal antarabangsa di perairan sekitarnya.
Houthi mendakwa, kira-kira 80 orang terbunuh, manakaa 150 yang lain cedera dalam satu serangan di pelabuhan minyak Ras Issa pada Khamis lalu.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menyatakan kebimbangan serius terhadap serangan AS.
Beliau juga menggesa, kumpulan Houthi menghentikan serangan peluru berpandu ke atas Israel dan kapal-kapal di Teluk.
Kumpulan Houthi berkata mereka melancarkan serangan peluru berpandu sebagai tanda solidariti terhadap Hamas yang sedang bertempur dengan tentera Israel di Gaza.
Serangan udara AS bermula pada Januari 2024 dan serangan berkenaan semakin giat dilakukan sejak Donald Trump mengambil alih jawatan Presiden AS pada tahun ini.