SEPANG 20 April – Menjelang ‘penutupan’ Makkah untuk jemaah umrah beberapa hari lagi, Andalusia Travel & Tours (Andalusia) menerbangkan 283 jemaah hari ini, penerbangann terakhir pakej umrah yang dikendalikan syarikat itu bagi musim 1446.
Penerbangan terakhir penutup umrah itu adalah bagi pakej istimewa Andalusia pada harga RM5,490 seorang yang ditawarkan tiga hari menjelang Aidilfitri di mana 566 tempat duduk habis ditempah dalam tempoh dua minggu promosi.
Menurut Pengerusi Eksekutif Andalusia, Md Daud Che Ngah, harga asal pakej sepatutnya adalah RM7,890.
Bagaimanapun dengan kerjasama Amal Malaysia Airlines, harga istimewa itu dapat ditawarkan di mana kumpulan 283 jemaah pertama berlepas semalam dan hari ini yang kedua dan terakhir yang turut membawa bersama enam orang mutawif.
Katanya, kumpulan jemaah itu akan terus ke Jeddah dan memasuki Makkah dan akan ke Madinah sebelum 29 April, tarikh akhir jemaah mesti meninggalkan Makkah.
“Pada musim 1446, kerajaan Arab Saudi mengeluarkan peraturan di mana semua jemaah yang menggunakan visa umrah mesti masuk ke Saudi sebelum atau pada 13 April (15 Syawal) dan keluar dari Saudi selewat-lewatnya pada 29 April.
Walaubagaimanapun, bagi jemaah yang menggunakan visa pelancong, kerajaan Arab Saudi masih lagi memberi kelonggaran,” katanya kepada media sebelum mengucapkan selamat berangkat kepada 283 jemaah terakhir di KLIA pagi ini.
Beliau berharap kumpulan jemaah terakhir itu dapat menunaikan ibadah dengan sempurna ketika jemaah dari seluruh dunia mula meninggalkan Makkah bagi memberi laluan kepada Arab Saudi membuat persiapan menyambut jemaah haji.
Md Daud berkata, berpegang kepada amanah jemaah, Andalusia bersyukur dapat mengendalikan kira-kira 50,000 jemaah umrah pada musim 1446H tanpa gagal.
“Terima kasih kepada jemaah kerana sudi bersama dan memberi kepercayaan kepada Andalusia dan sejak 23 tahun lalu, lebih 800,000 jemaah umrah dan haji diurus dengan sempurna dari segi pengurusan dan bimbingan” katanya.
Kelmarin, Direktorat Am Keselamatan Awam Arab Saudi mengingatkan pelaksanaan urusan dan prosedur haji akan dikuatkuasa bermula 23 April ini, mewajibkan semua yang ingin memasuki Makkah mendapatkan permit masuk yang sah.
Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), mana-mana individu yang tidak mempunyai permit tidak dibenarkan melepasi sekatan keselamatan menuju kota suci itu.
Laporan menyebut, 15 Syawal 1446 atau 13 April 2025, menjadi tarikh akhir bagi jemaah umrah untuk masuk, manakala tarikh akhir bagi jemaah asing untuk meninggalkan kota suci itu ialah pada 1 Zulkaedah 1446 atau 29 April.
Ekspatriat yang ingin memasuki Makkah diwajibkan mendapatkan permit haji rasmi daripada pihak berkuasa yang berkaitan mulai 25 Syawal 1446 atau 23 April 2025.
Di samping itu, pengeluaran permit umrah melalui platform Nusuk akan ditangguhkan bagi warga Saudi, warga negara GCC, ekspatriat di Arab Saudi, dan pemegang visa lain mulai 29 April.
Penangguhan ini akan berkuat kuasa sehingga 14 Zulhijjah 1446 bersamaan 10 Jun 2025.
Nnnn
