Singapura catat 876 kes baharu

SINGAPURA mengesahkan 876 kes positif baharu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di republik itu setakat ini ialah 23,336.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (MOH), data awal setakat tengah hari ini menunjukkan bahawa hanya tiga kes membabitkan warganegara atau penduduk tetap Singapura manakala baki adalah pekerja asing yang tinggal di asrama.

Singapura, setakat ini telah mengklasifikasikan sejumlah 1,283 sebagai kes komuniti, 579 sebagai kes import dan 627 sebagai kes membabitkan pekerja asing yang tinggal di luar asrama.

Sejumlah 2,296 pesakit telah dibenarkan keluar hospital atau kemudahan penjagaan komuniti manakala 1,124 kes masih menerima rawatan dengan 23 dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi. Sebanyak 20 orang meninggal dunia akibat komplikasi susulan jangkitan Covid-19 .

Sementara itu THAILAND melaporkan lima kes baharu Covid-19, hari kelima berturut-turut kes baharu harian mencatatkan satu digit dan sifar kematian menjadikan jumlah keseluruhan 3,009 kes dan jumlah kematian kekal 56.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata daripada lima kes baharu itu, tiga membabitkan rakyat Thailand yang kembali dari luar negara – seorang wanita berusia 41 tahun yang kembali dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan dua lelaki berusia 26 dan 27 tahun, yang kembali dari Pakistan.

Dua lagi kes mempunyai kaitan dengan kes yang disahkan sebelumnya – satu di Bangkok dan satu lagi di wilayah selatan Narathiwat. Bagaimanapun  angka hari ini mengecualikan empat kes positif yang dikesan di pulau peranginan Phuket dan angka itu akan dimasukkan dalam perkiraan esok.

Jumlah kes positif di INDONESIA pula terus meningkat kepada 14,032 kes, dengan angka kematian kini 973 orang.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata sebanyak 14 lagi kematian berlaku dalam tempoh 24 jam.

“Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, tambahan kes positif baharu ialah sebanyak 387 kes, menjadikan kes positif kini meningkat kepada 14,032 kes,” katanya.

Achmad Yurianto berkata seramai 30,317 pesakit masih lagi berada dalam pengawasan manakala mereka yang sembuh kini berjumlah 2,698 orang.

Provinsi Jakarta mencatatkan kes kematian tertinggi iaitu 434 kes, diikuti Jawa Timur (143), Jawa Tengah (95) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Kementerian Kesihatan BRUNEI DARUSSALAM melaporkan kes positif Covid-19 kekal 141 kes apabila tiada kes baharu dilaporkan.

Dua kes sembuh menjadikan jumlah pulih sebanyak 134 sementara enam orang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan. Dua daripada mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan.

Ketika ini, 110 orang sedang menjalani kuarantin sementara 2,575 telah tamat tempoh kuarantin.

Jabatan Kesihatan FILIPINA pula melaporkan 84 kes positif baharu menjadikan 10,794 kes sehingga pukul 4 petang ini.

Pada tempoh yang sama sebanyak 15 kematian dilaporkan menjadi 719 kematian.

Sebanyak 82 kes pulih menjadikan kes keseluruhan 1,924

Related posts

Leave a Comment