272 jemaah Andalusia berlepas ke Madinah

SEPANG 22 April – Kumpulan pertama 272 jemaah yang memilih pakej Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) pada musim haji tahun ini berlepas ke Tanah Suci awal pagi ini bagi menunaikan rukun Islam kelima.

Mengiringi kumpulan pertama Andalusia ini, empat orang petugas yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan Saudia Airlines yang dijangka tiba di Madinah pada pukul 9.25 pagi.

Terdahulu jemaah berkumpul mulai pukul 5.30 petang untuk mendaftarkan diri di Kompleks TH Sepang, Pusat Konvensyen dan Hotel Movenpick sebelum dibawa ke dewan menunggu sekitar pukul 8.30 malam.

Hadir mengucapkan selamat berangkat kepada jemaah adalah Pengarah Eksekutif Andalusia,  Md. Daud Che Ngah, Pengarah Urusan Andalusia Ibrahim Mat Sin dan Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris.

Menurut Ida Riswana, secara keseluruhannya, bagi musim haji tahun ini Andalusia akan mengendalikan kira-kira 500 jemaah sama ada yang mendapat visa biasa, visa tambahan atau visa haji khas mujamalah.

Katanya, pada tahun ini, beberapa pembaharuan dibuat bagi mempersiapkan jemaah untuk menunaikan haji termasuk manasik haji selama dua hari di Masjid Imanul Faizin, Kota Bharu dan di Semenyih Eco Venture Resort, Selangor.

Menerusi manasik ini, jemaah didedahkan dengan latihan atau simulasi berkaitan perjalanan ibadah haji sebagai persiapan untuk melaksanakan ibadah mengikut rukun, wajib dan tertib.

“Kita mahu memastikan jemaah lebih faham dan menghayati tentang ibadah itu khususnya ketika berada di Arafah, Mina dan Muzdalifah,” katanya.

Ida Riswana berkata, Andulusia turut melakukan pembaharuan baharu di mana susunan penempatan jemaah haji dibuat lebih awal selain mengemaskini nota ibadah untuk panduan jemaah di Tanah Suci.

“Kita telah mengemaskini nota bagi membolehkan jemaah lebih mudah untuk ingat doa-doa khususnya ketika mahu dibaca di Arafah dan Mina nanti,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai jadual penerbangan ke Tanah Suci terutama ketika konflik di rantau berkenaan, Ida Riswana berkata,setakat ini, semuanya berjalan lancar walaupun mulanya ramai yang tertanya-tanya status penerbangan.

“Setakat ini Alhamdulillah semuanya tiada masalah dan pihak Tabung Haji  menyusun dengan baik serta berhubung dengan pihak kementerian dan penerbangan,” katanya.

Beliau juga memberitahu menerusi ‘pakej mahal yang mampu’, ada jemaah yang akan ditempatkan di Azizia pada waktu puncak, iaitu lokasi yang lebih dekat dengan masyair iaitu Arafah, Mina dan kompleks Jamarat untuk melontar jamrah.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment