KUALA LUMPUR 16 April – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan sama ada berlaku rasuah atau salah guna kuasa berhubung pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini.
Ahli Dewan Tertinggi Putra Malaysia, Mohamed Shahrin Ismail berkata, siasatan juga meliputi kadar nilai pampasan bayaran daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
Putra turut mempersoalkan mengapa isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru tidak dibincangkan di Kabinet pentadbiran sebelum ini sehingga pemaju mendapat lampu hijau melalui Akta Pengambilan Tanah 1960.
“SPRM diminta menyiasat siapa terlibat dan mengapa kerajaan PN ketika itu memihak kepada pemaju bukannya kepada pemilik tanah semasa rundingan pampasan dan kelulusan pengambilan tanah yang awalnya tiada penglibatan pihak kerajaan pada 2016- 2017 era BN.
Rundingan tawaran kepada penduduk dari pemaju yang diberikan pada era BN dikatakan tidak berjaya, lebih 100 penduduk menolak kerana khuatir rumah tidak siap dan berkemungkinan terbengkalai,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru Putra menggesa SPRM membuka kertas siasatan mengenai kelulusan pengambilan tanah dan kadar harga yang diberikan sama ada mengikut status penilaian Malay Agricultural Settlement (MAS) atau tidak.
Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam kenyataann berkata, beliau telah ditohmah bertanggungjawab membuat keputusan pengambilan tanah Kampung Sungai Baru.
“Keputusan pengambilan tanah tersebut yang dibuat di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak melibatkan saya sebagai Perdana Menteri pada ketika itu. Sebaliknya ia melalui proses di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 di mana keputusan mengenainya dibuat oleh pihak berkuasa tanah Wilayah Persekutuan.
Jika pengambilan tanah tersebut tidak dibuat mengikut lunas undang-undang, mahkamah boleh menentukan hak-hak pihak yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu Putra berharap isu nilaian harga dan status MAS atau tidak, dapat diselesaikan dengan betul tanpa ada birokrasi atau korupsi kerana ianya melibatkan jumlah besar ekonomi orang Melayu.
“Tun Mahathir Mohamad pernah menyebut bahawa nilai kawasan strategik Kampung Baru, Kuala Lumpur mencecah RM3000 kaki persegi melibatkan kawasan orang Melayu dan Kampung Baru, merupakan warisan Melayu yang wajar dipertahankan.
Hilang Melayu di Kampung Baru maka hilanglah identiti Melayu dalam bandar raya,” katanya.
Tegasnya lagi, Putra berpegang pada prinsip hanya memihak kepada kebenaran tanpa mengira apa-apa sentimen dan menggesa Kerajaan Madani perihatin dan mendalami isu ini supaya penduduk tidak dianiayai ibarat sudah jatuh ditimpa tangga atau “nak pegang ekor kucing terpegang ekor harimau”.
Nnnn
