GENEVA – Selepas lebih tiga tahun rundingan, negara di seluruh dunia akhirnya bersetuju mewujudkan perjanjian penting bagi menghadapi pandemik pada masa akan datang, hasil iktibar daripada kesilapan yang berlaku semasa krisis Covid-19.
Perjanjian itu dimuktamadkan awal pagi tadi selepas sesi akhir yang panjang di ibu pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, menyifatkan kejayaan mencapai persetujuan itu sebagai detik bersejarah bagi dunia.
“Negara di dunia mencipta sejarah hari ini. Perjanjian ini bukan sahaja menjadikan dunia lebih selamat, tetapi juga menunjukkan bahawa semangat kerjasama antara negara masih wujud,” katanya dalam satu kenyataan.
Perjanjian itu dirangka selepas Covid-19 mengorbankan jutaan nyawa dan menjejaskan ekonomi global. Ancaman baharu seperti selesema burung H5N1, campak, mpox dan Ebola turut menjadi faktor penting dalam perbincangan.
Rundingan akhir turut dibayangi isu pemotongan bantuan luar oleh Amerika Syarikat (AS) dan ancaman tarif terhadap produk farmaseutikal, yang mencetuskan kebimbangan terhadap komitmen jangka panjang.
Sehingga ke saat akhir, masih terdapat perbezaan pendapat mengenai beberapa isu utama.
Dalam pada itu ,Tedros turut menyertai sesi perbincangan semalam dan memberitahu wartawan bahawa deraf terkini adalah ‘baik’, ‘seimbang’, dan perjanjian itu akan membawa ‘lebih kesaksamaan’.
Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun langkah persediaan memerlukan kos tinggi, kegagalan bertindak sekarang adalah jauh lebih merugikan.
“Virus adalah musuh sebenar. Ia boleh membawa kesan lebih buruk daripada peperangan,’