118 kes baharu, 222 pulih

PUTRAJAYA: Kes pulih dan dibenarkan pulang sehingga 12 tengah hari ini bertambah sebanyak 222 kes menjadikan jumlah kumalitif kes yang sembuh meningkat kepada 1,830 atau 42.11 peratus daripada jumkah keseluruhan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagi tempoh yang sama terdapat 118 kes baharu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 4,346 kes.

“Ini bermakna, bilangan kes yang didiscaj hari ini juga adalah melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan. Sehingga kini, seramai 69 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Daripada jumlah tersebut, 40 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian, di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham turut memaklumkan Malaysia merekodkan tiga lagi kematian berkaitan Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif kematian meningkat kepada 70 kes atau 1.6 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Jelasnya, ketiga-tiga mangsa yang merupakan warga emas dan rakyat Malaysia disahkan meninggal dunia pada Jumaat.

“Kes kematian ke-68 (kes ke-694) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 daripada kluster Seri Petaling (kes ke-159). Beliau telah dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Sabah pada 17 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 10 April 2020 pukul 8.21 pagi.

Kes kematian ke-69 (kes ke-4229) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 77 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 10 April 2020 pukul  4 pagi.

Kes kematian ke-70 (kes ke-4230) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 88 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, penyakit jantung dan dementia.

Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 (kes ke-1684). Beliau telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 20 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 10 April 2020 pukul 2.38 pagi.

Related posts

Leave a Comment