GAZA – Hamas mendakwa mereka terputus hubungan dengan kumpulan yang menahan seorang tebusan warga Israel-Amerika Syarikat (AS) Edan Alexander, di Gaza selepas satu serangan udara oleh Israel.
Jurucakap sayap tentera Hamas, Briged Ezzedine Al-Qassam, Abu Obeida dalam kenyataan di Telegram berkata mereka terputus hubungan dengan kumpulan yang menahan Alexander selepas kawasan itu terkena serangan secara langsung.
Ketika ini, usaha membebaskan tebusan berkenaan menjadi tumpuan utama dalam cadangan rundingan gencatan senjata terbaharu oleh Israel.
Sebelum ini mesej melalui satu video menyebut: “Bersedialah. Tidak lama lagi, anak-anak kamu akan pulang dalam keranda hitam dengan tubuh mereka hancur akibat serangan peluru berpandu tentera kamu,”.
Sabtu lalu, Hamas turut menyiarkan video Edan Alexander, yang menunjukkan dia masih hidup sambil mengkritik kerajaan Israel.
Dalam rakaman itu, Alexander kelihatan bercakap di bawah tekanan dan banyak menggunakan gerakan tangan semasa mengkritik kepemimpinan Netanyahu.
Alexander, yang berusia 21 tahun ketika ditahan, diculik oleh pejuang Palestin ketika serangan pada Oktober 2023 ketika dia sedang bertugas bersama anggota tentera elit di sempadan Gaza.
Dia dilahirkan di Tel Aviv dan dibesarkan di New Jersey, AS sebelum kembali ke Israel untuk menyertai tentera selepas tamat sekolah.
Hamas sebelum ini mengesahkan menerima cadangan gencatan senjata terbaharu daripada Israel termasuk pembebasan 10 tebusan yang masih hidup, bermula dengan Alexander, sebagai pertukaran kepada gencatan selama 45 hari.
Nnnn