SEREMBAN 14 April – Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun mempertahankan jawatan Ketua PKR Cabang Port Dickson bagi penggal kedua pada pemilihan parti itu hari ini.
Naib Presiden PKR itu menewaskan bekas Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk M Ravi.
Aminuddin memperoleh 2,147 undi, manakala Ravi yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, mendapat 1,098 undi.
Pada pemilihan 2022, Aminuddin memperoleh 1,129 undi, manakala Ravi yang menyandang jawatan itu sejak 1999 memperoleh 951 undi.
ADUN Seri Tanjung, G Rajasekaran yang bertanding bagi jawatan Naib Ketua Cabang Port Dickson turut mencatatkan kemenangan dengan memperoleh 2,412 undi berbanding pencabarnya, Mohd Ibrahim Khan Amanulla Khan hanya memperoleh 180 undi.
Sementara itu di Jempol, Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR, Manivanan Gowin, tewas dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Cabang Jempol yang ‘dikosongkan’ penyandangnya Rebin Birham.
Pertandingan empat penjuru itu menyaksikan Azizah Salim Shah menang selepas meraih 450 undi, diikuti Manivanan dengan 248 undi, Muhammad Asri Abdullah (83) dan K Mariappan (52).
Manivanan sebelum ini dilaporkan berkata, beliau menawarkan diri bertanding untuk membantu kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan mempertahankan pentadbiran parti itu di negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Sementara itu di Jelebu, Zainal Fikri Abd Kadir berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang selepas memperoleh 657 undi untuk mengalahkan Gorri@ArisTaulif yang mendapat 509 undi dalam pertandingan satu lawan satu.
Nnn