Fahmi batal hasrat tanding Naib Presiden

KUALA LUMPUR 13 April – Selepas hampir sebulan mengumumkan hasrat bertanding jawatan Naib Presiden pada 24 Mei ini, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, mengesahkan hanya akan bertanding bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Menteri Komunikasi itu berkata demikian kepada pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai di sini, malam tadi.

“Saya telah mengunjungi beberapa negeri dan berbincang dengan ramai pemimpin. Setelah meneliti keperluan dan mempertimbangkan secara mendalam, saya buat keputusan akan bertanding jawatan MPP.

“Tujuannya adalah untuk memperkukuh parti dan memberi nafas baharu kepada kepimpinan MPP. Insya-Allah, saya akan berusaha bersama rakan-rakan untuk menjalankan kempen secara sihat dan menzahirkan satu bentuk kepimpinan yang baharu.

“Ini penting kerana kepimpinan inilah yang akan membawa parti, bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, menuju Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya.

Pada 16 Mac lalu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai mengumumkan keputusan z.  untuk bertanding jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan 24 Mei ini selepas perbincangan dengan beberapa pemimpin dan rakan-rakannya dalam parti.

“Penilaian dan perbincangan mendapati terdapat ruang untuk saya menabur bakti kepada parti dan juga setelah berbincang dengan cabang Lembah Pantai dan rakan-rakan di peringkat akar umbi ketika menjelajah ke negeri-negeri.

Bila tiba masa nanti, insya-Allah saya akan menghantar pencalonan,” katanya  selepas mengedarkan kurma dan bubur lambuk kepada orang ramai ketika lawatan ke Bazar Ramadan Bazaria, Pantai Dalam di sini.

Fahmi berkata beliau dan pasukannya akan merangka strategi yang berbeza untuk memastikan kemenangan pada pemilihan Naib Presiden parti kali ini.

Sementara itu pemilihan PKR bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang telah bermula 11 April dan akan berlangsung sehingga 20 April.

Pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP), dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) dijadualkan pada 24 Mei ini.

Nnn

Related posts

Leave a Comment