SEPANG 13 April – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, mengekalkan jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Gombak bagi penggal kedua selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti bagi sesi 2025 hingga 2028.
Naib Presiden PKR yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, itu berkhidmat sebagai Ketua Cabang Gombak sejak 2022.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, juga berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua Cabang Pandan selama tiga penggal sejak 2018 selepas mengalahkan pencabarnya dengan perbezaan undi hampir sekali ganda.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi memperoleh sebanyak 883 undi, manakala pesaingnya, Shahrom Musa memperoleh 444 undi.
Di Cabang Ampang, penyanyi rap, Altimet, atau nama sebenar, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad memenangi pemilihan dalam pertandingan tiga penjuru.
Altimet yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, meraih 1,926 undi, mengalahkan dua calon lain iaitu Mohd Kamri Kamaruddin (1,637 undi) manakala Azrul Azwar Ahmad Tajudin (236).
Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail gagal mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang Shah Alam selepas tewas kepada Exco Belia dan Sukan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi.
Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Mohd Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, meraih 1,213 undi, manakala Rodziah memperoleh 899 undi dan seorang calon lagi, Noryzal Zainal Abidin, meraih 513 undi.
Di Petaling Jaya, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang Hee Loy Sian kekal mengetuai cabang itu setelah mengalahkan pencabarnya Lee Chean Chung yang juga Pengarah Komunikasi PKR.
Chean Chung yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya, memperoleh 2,684 undi, manakala Loy Sian meraih 2,900 undi.
Bagi jawatan Timbalan Ketua Cabang, Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, tewas di tangan penyandangnya, Ahmad Akhir Pawan Chik yang memperoleh 2,819 undi berbanding 2,684 undi milik Mohammad Fahmi
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi R Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR menang tanpa bertanding di Cabang Sungai Buloh.
Di cabang Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan mempertahankan jawatannya dalam pertandingan tiga penjuru.
Dr Sathia yang juga Timbalan Setiausaha Agung PKR menang dengan 3,016 undi mengalahkan bekas Ketua Cabang Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui yang memperoleh 993 undi dan J Kalaichelvan pula 609 undi.
Foto : Dari kiri Amirudin Shari, Rafizi Ramli, R.Ramanan manakala bawah, dari kiri Dr Sathia, Mohd Najwan dan Altimet
Nnn