178 unit kediaman sementara sudah tersedia

SHAH ALAM – Sebanyak 178 unit kediaman sementara sudah tersedia untuk menempatkan mangsa yang terjejas dalam tragedi letupan saluran paip gas di Putra Heights Selasa lalu.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata Airbnb bersetuju menaja 78 unit sementara bagi tempoh dua bulan manakala 100 unit daripada rumah Smart Sewa yang akan disewakan secara percuma ataupun dibiayai kerajaan negeri.

Beliau berkata, proses pemberian bantuan perumahan itu sudah bermula, tetapi ia akan dimuktamadkan segera oleh Exco Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah dengan pihak Petronas.

“Kita akan selaras dan bincangkan sebab angkanya sudah bertambah 500 dan akan diselesaikan pihak bantuan perumahan.

Sekarang kita perlu selesaikan bantuan awal yang kita cuba untuk agihkan, Insya-Allah. Maknanya, dalam tempoh seminggu pertama kita hendak selesaikan semua bantuan awal sebagaimana yang dijanjikan,” katanya pada sidang media di Wisma Dewan Annex di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri ke-4 berkaitan insiden kebakaran paip gas di Putra Heights.

Setakat pagi ini, 509 keluarga berdaftar dengan pusat pemindahan sementara (PPS), meningkat sebanyak 201 keluarga berbanding 308 yang diumumkan dua hari lalu. Daripada jumlah itu 157 tinggal di PPS, 352 menetap di luar penempatan itu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, keluasan kawasan yang terkesan akibat kebakaran telah diperluaskan dari radius 290 meter kepada 325 meter yang meliputi dua kawasan utama iaitu Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru.

Sementara itu, Amirudin berkata, sebanyak lima kenderaan akan disediakan bagi menghantar pelajar dari pusat pemindahan sementara (PPS) (Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia MBSJ) ke 34 sekolah bermula Isnin ini susulan tragedi itu.

Katanya, berkemungkinan lebih banyak kenderaan akan disediakan sekiranya diperlukan bagi memastikan pelajar dapat kembali ke sekolah dengan lancar.

“Kita bersedia untuk menyediakan kemudahan tambahan jika keperluan meningkat,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment