130 unit rumah disahkan selamat

SHAH ALAM 5 April – Daripada keseluruhan 235 unit rumah yang dikenal pasti di kawasan Taman Putra Harmoni, sejumlah 130 unit rumah yang terbabit dengan tragedi letupan paip gas di Putra Heights disahkan selamat.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, susulan itu, penghuni 130 unit itu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun, penghuni di Kampung Sungai Baru belum boleh dibenarkan kerana keadaannya masih lagi belum selamat sebagaimana laporan pihak bomba, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan jabatan berkaitan.

Justeru, beliau mengingatkan penduduk yang belum mendapat kebenaran untuk pulang, tidak pulang ke rumah masing masing kerana tiada jaminan keselamatan.

“Saya juga akan memperketatkan lagi kawalan kemasukan kerana di pihak polis ada kelonggaran tertentu sahaja untuk membenarkan mereka mengambil dokumen penting dengan diiringi pihak bomba di lokasi,” katanya pada sidang media di Wisma Dewan Annex, di sini hari ini.

Amirudin berkata, pihaknya khuatir berlaku perkara tidak diingini sekiranya mereka masuk ke lokasi berkenaan tanpa kebenaran dan pengetahuan pihak berkuasa.

“Kalau mereka masuk sendiri tanpa melapor kepada komandan ataupun kepada pegawai kita di lapangan, saya bimbang akan berlaku insiden yang tidak kita ingini.

“Ada laporan saya terima mereka yang balik ke rumah terpaksa mendapatkan rawatan balik di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana mengadu sesuatu yang kurang selesa selepas mereka pulang.

“Apabila disemak, itu di kawasan Kampung Sungai Baru ataupun Kampung Kuala Sungai Baru yang belum ada kelulusan,” katanya yang mengingatkan keadaan di kampung berkenaan masih dalam keadaan rapuh dan belum boleh dibenarkan pulang.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment