Siasatan tidak lindungi mana-mana pihak – MB

SHAH ALAM 5 April – Kerajaan Selangor memberi jaminan semua siasatan berhubung tragedi letupan saluran paip gas di Putra Heights adalah telus dan tidak akan melindungi mana-mana pihak, kata Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau merujuk kenyataannya sebelum ini yang dilihat bercanggah dengan kenyataan Ketua Polis Selangor,  Hussein Omar Khan yang mengesahkan wujud kerja pengorekan di lokasi insiden terbabit.

“Pada hari pertama kejadian, saya hendak maklumkan kepada semua kenyataan itu sedikit sebanyak disalah erti oleh sesetengah pihak kerana sememangnya daripada perbincangan ringkas saya dengan Ketua Polis Selangor sebagai ketua penyiasat, kita memang menjangkakan ada jengkaut yang terbenam di kawasan terbabit.

Tidak timbul isu saya cuba menafikan ada aktiviti ataupun melindungi sesiapa sebagaimana ada sesetengah pihak di laman sosial, terutama yang mempertikai kedudukan Menteri Besar dalam menilai isu ini,” katanya pada sidang media Wisma Dewan Annex di sini hari ini.

Amirudin berkata, setakat ini pasukan audit Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sudah digerakkan ke Koridor Utiliti Selangor (KUSel) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Katanya, ini susulan dakwaan kecuaian berlaku daripada kedua-dua pihak terbabit sekali gus mengakibatkan insiden berkenaan.

“Mulai hari kedua lagi audit sudah masuk ke dua jabatan ini, KUSel dan juga MBSJ dan mereka membenarkan untuk melihat adakah proses kebenaran dan jajaran mengikut aturan ditetapkan.

“Insya-Allah, kebenaran akan dapat dibuktikan tapi bagi masa yang selengkapnya untuk disiasat dan disemak betul-betul supaya mengelakkan sebarang kekeliruan berlaku,” katanya.

Beliau juga berharap pada masa sama orang awam yang mempunyai bukti seperti gambar dan video yang sahih dapat menyerahkan kepada agensi siasatan supaya ia dapat dijalankan dengan terperinci.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri sudah mengenal pasti 509 keluarga yang terjejas dengan tragedi letupan paip gas dan berdaftar dengan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Bagaimanapun, sebahagian yang berdaftar itu tidak tinggal di situ sebaliknya memilih tinggal di kawasan luar.

Katanya, masih ada lagi mangsa yang menyewa atau pun pemilik rumah di Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru tidak berdaftar kerana belum pulang dari kampung kerana cuti Aidilfitri.

Justeru, beliau menggesa supaya mereka segera mendaftarkan diri dan keluarga dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights tanpa mengambil kira sama ada ingin menduduki PPS atau tidak.

“Apa yang penting, buat masa ini kena mendaftar dengan PPS supaya tiada sesiapa yang tercicir daripada bantuan yang akan disampaikan. Esok pendaftaran kita akan tutup sebab kita hendak selaraskan segala data dan maklumat dengan pihak bomba dan pihak JKM.

“Pejabat Tanah dan Daerah Petaling juga akan membuat perbandingan senarai rumah yang kita sudah kenal pasti.

“Ada kerumitan ini timbul kerana di beberapa lokaliti di beberapa premis diletakkan rumah-rumah sewa, ada sebahagiannya mempunyai lebih daripada satu pintu.

“Justeru, kita ada satu kategori baru iaitu kategori penyewa. Jadi rumah musnah sepenuhnya kategori satu, kategori kedua adalah rumah yang terkesan tetapi tidak musnah dan juga penyewa,” katanya.

Katanya, pemilik rumah yang musnah sepenuhnya akan menerima sebanyak RM5,000 manakala pemilik rumah dan penyewa terkesan masing-masing akan menerima RM2,500 bermula Isnin ini.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment