JOHOR BHARU 11 Julai – Barisan Nasional (BN) menang di 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor ke-16 kali ini, pencapaian lebih baik berbanding yang diraih pada pilihan raya Mac 2022.
Lebih bergaya, BN juga menang di sebahagian kerusi DUN dengan majoriti undi lebih besar, selain merampas lapan kerusi DUN yang sebelum ini dimenangi Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Manakala PH mengalami kekalahan teruk dengan hanya menang lapan kerusi menerusi enam calon DAP yang mempertahankan DUN Penggaram, Mengkibol, Stulang, Bentayan, Skudai dan Senai sementara PKR menang di Puteri Wangsa yang sebelum ini diwakili Muda dan Amanah mempertahankan Simpang Jeram.
PN pula tewas di semua kerusi ditandingi termasuk gagal mempertahan kerusi DUN Bukit Kepong, Maharani dan Endau yang dimenangi pada pilihan raya 2022 lalu.
Pencapaian MCA kali ini lebih baik berbanding PRN terdahulu apabila merampas beberapa kerusi yang sebelum ini dimenangi DAP iaitu di DUN Jementah, Tangkak, Johor Jaya dan Stulang.
Parti komponen BN itu turut mengekalkan penguasaan di kerusi DUN Yong Peng, Pekan Nanas, Paloh dan Bekok.
Begitu juga pencapaian MIC yang menang di semua kerusi ditandingi, termasuk membuat kejutan menang tipis dengan hanya lebih 100 undi di DUN yang sebelum ini di menangani PH iaitu Bukit Batu.
Selain itu, MIC turut menang di DUN Kemelah, Kahang selain Perling, yang dirampas daripada PH.
Di DUN Machap, seperti dijangka Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi menang bergaya apabila meraih majoriti undi lebih besar manakala Kemenangan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menang di DUN Pasir Raja.
Setiausaha Kerja UMNO, Sumali Reduan menang di DUN Benut, dalam pertandingan satu lawan satu yang sebelum ini dimenangi bekas Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad.
BN menerusi calonnya, Mohd Hairi Mad Shah juga menang di DUN Larkin, antara kerusi sengit dalam saingan PRN kali ini, menewaskan calon PH yang juga Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiyat.
DUN Endau yang menyaksikan penampilan sekali lagi Alwiyah Talib, namun kali ini atas tiket BN berbanding PN pada dua PRN lalu, turut menang sekali gus kekal wakil rakyat dikawasan itu untuk penggal ketiganya.
Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar dan bekas Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon yang masing-masing mewakili PH dan PN tewas dalam saingan tiga penjuru di DUN Senggarang.
BN turut merampas kerusi DUN Bukit Kepong menerusi calonnya, Ahmad Syar’e Yusof apabila menewaskan bekas Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal dari Bersatu yang mewakili PN.
Pas juga gagal mempertahan kerusi DUN Maharani yang dimenangi pada pilihan raya Johor 2022.
Nnnn
Dari kiri Onn Hafiz Ghazi (Machap), Dr Adham Baba (Pasir Raja), Sumali Reduan (Benut) dan Mohd Hairi Mad Shah (Larkin).
