Trump dakwa hala tuju politik ekstrem

MIAMI – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump secara terbuka mengulas kemenangan Zohran Mamdani sebagai Datuk Bandar New York dengan menyifatkan ia sebagai cerminan kepada hala tuju politik Parti Demokrat yang semakin ekstrem

Trump menyelar Mamdani yang merupakan seorang sosialis demokrat dan mendakwa beliau sebagai “komunis” yang dipilih untuk menerajui bandar terbesar di negara itu.

“Jika anda mahu tahu apa yang ahli Demokrat Kongres mahu lakukan terhadap Amerika, lihat sahaja keputusan pilihan raya semalam di New York – mereka telah melantik seorang komunis sebagai Datuk Bandar,” kata Trump ketika berucap di Forum Perniagaan Amerika di sini.

Trump turut menyindir kenyataan lamanya bahawa tiada sosialis akan dipilih ke mana-mana jawatan di Amerika, sambil menambah: “Kita bukan sahaja melangkaui sosialis, kita terus lantik komunis.”

Dalam masa sama, Trump beri amaran bahawa bandar seperti Miami akan menjadi tempat perlindungan bagi mereka yang ingin melarikan diri daripada “komunisme” di New York.

Mamdani menewaskan calon Republikan, Curtis Sliwa dan bekas Gabenor Demokrat, Andrew Cuomo yang bertanding sebagai calon bebas dan mendapat sokongan Trump sehari sebelum hari pengundian.

“Keputusan malam tadi jelas menunjukkan pilihan yang perlu dibuat oleh rakyat Amerika — antara komunisme dan kewarasan. Selagi saya berada di White House, Amerika tidak akan menjadi negara komunis dalam apa jua bentuk,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment