Lonjakan kes beri tekanan perkhidmatan

LONDON 17 Dis. – Kes baharu Covid-19 di Britain mencecah rekod tertinggi untuk hari kedua berturut-turut semalam disebabkan varian Omicron yang merebak pantas.

Ketua Pegawai Perubatan England, Chris Whitty, memberi amaran kemasukan ke hospital harian juga boleh mencecah kemuncak baharu.

Britain melaporkan 88,376 jangkitan baharu, tertinggi sejak permulaan wabak itu dan meningkat sekitar 10,000 sejak rekod sebelumnya dicatatkan pada Rabu.

Whitty berkata, lonjakan kes memberi tekanan kepada perkhidmatan kesihatan yang bergelut dengan kekurangan kakitangan.

Omicron sangat mudah menular sehinggakan walaupun ia terbukti lebih ringan daripada varian lain, ia masih boleh menyebabkan lonjakan kemasukan ke hospital.

Bagaimanapun Whitty berkata vaksinasi boleh mengurangkan bilangan dimasukkan ke rawatan rapi dan memendekkan masa rawatan di hospital.

Ketua Penasihat Perubatan di Agensi Keselamatan Kesihatan UK, Susan Hopkins, berkata terdapat 15 kes Omicron yang terbukti di hospital, tetapi jumlah itu mungkin lebih tinggi.

Britain menggesa pengambilan dos penggalak vaksin yang akan mengurangkan risiko penyakit yang serius terhadap jangkitan Omicron.

Kerajaan juga telah menasihatkan orang ramai untuk bekerja dari rumah, mewajibkan memakai pelitup muka di tempat awam dan telah memperkenalkan pas Covid-19 untuk memasuki beberapa tempat dan acara di England.

Related posts

Leave a Comment