PORT DICKSON 18 Mac – Tempoh tujuh hari untuk menjawab sudah berakhir, tetapi Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin, tidak akan menjawab notis tunjuk sebab yang diterima daripada Lembaga Disiplin parti 10 Mac lalu.
Chegubard berkata, keputusan itu dibuat kerana menganggap soalan dikemukakan berhubung beberapa tuduhan terhadapnya. tidak munasabah.
“Saya tidak mahu merendahkan intelektual saya untuk menjawab soalan itu dan bersedia menerima sebarang keputusan Lembaga Disiplin,” katanya pada sidang media di Pejabat Bersatu Port Dickson, di sini.
Beliau menerima notis tersebut melalui WhatsApp pada 10 Mac lalu sekitar pukul 6 petang dengan tempoh tujuh hari diberikan untuk memberikan jawapan.
Chegubard berkata isu yang dibangkitkan termasuk sidang media pada 9 Julai lalu yang didakwa memburukkan parti, selain kenyataan di media sosial yang menggunakan perkataan ‘barua’ dan ‘mangkuk hayun’ terhadap pimpinan parti.
Beliau mendakwa situasi itu seolah-olah menunjukkan parti dikawal sepenuhnya sehingga ahli tidak bebas menyuarakan pandangan, malah individu yang mengkritik kerajaan secara agresif dilihat sebagai musuh parti.
Sehubungan itu, beliau mencabar Bersatu memecatnya sekiranya tindakannya bersuara dianggap sebagai kesalahan, selain tidak menolak kemungkinan Bersatu Port Dickson akan lumpuh dalam masa terdekat.
Katanya, beliau menyertai Bersatu pada 2020 selepas dipecat daripada PKR pada 2016 dengan niat memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air, namun mendakwa parti itu kini tidak lagi seperti dahulu.
Beliau turut meluahkan kebimbangan kemelut dalaman yang melanda Bersatu boleh menjejaskan Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhan.
