SSUBANG2 April – Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Hamzah Zainudin menyarankan mangsa letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights, Selangor menubuhkan jawatankuasa bagi menilai perincian lanjut berhubung insiden itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, jawatankuasa tersebut antara lain dapat bertindak sebagai platform untuk mangsa menghadapi cabaran masa hadapan.
Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat itu berkata demikian pada sidang media selepas meninjau keadaan mangsa di pusat penempatan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights di sini, hari ini.
“Saya beritahu beberapa rakan (mangsa) tubuhkan jawatankuasa yang boleh melihat keadaan mereka yang menghadapi bencana terbabit, supaya kita dapat membantu mendapatkan pampasan dan memastikan pelaku yang sebenarnya.
“Walaupun ada yang menyewa (rumah di lokasi kejadian), tetapi bencana dihadapi agak menghimpit keadaan yang hari ini, terlampau susah untuk hidup.
Bencana seperti ini akan memberi kesan dan gangguan kepada mental (mangsa) dan saya bersedia berjumpa dengan jawatankuasa berkenaan untuk membantu mereka menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.
Hamzah turut menasihati kerajaan dan agensi berkaitan supaya mengelak daripada mengeluarkan kenyataan berkaitan insiden itu yang dikatakan agak bercanggah.
Semalam, hari kedua Aidilfitri, satu kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights, Selangor menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Kebakaran saluran paip gas Petronas sepanjang 500 meter (m) yang bermula sekitar pukul 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat dalam jarak beberapa kilometer.
Nnn
