SEPANG 2 April – Kluster Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Akademi Profesor Malaysia (APM) menggesa supaya pihak berkuasa memberi keutamaan melindungi kawasan rizab paip atau ‘Right of Way’ (ROW).
Langkah itu perlu susulan insiden letupan dan kebakaran paip gas petroleum cecair (LPG) bawah tanah di kawasan penempatan di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, sehingga mencetuskan kebakaran besar, pagi semalam.
STI berkata, integriti koridor paip bergantung kepada kesedaran awam, penggunaan tanah yang bertanggungjawab dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa berkaitan yang berkesan bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.
Menurut STI APM, keperluan pemantauan berterusan, tadbir urus keselamatan yang kukuh dan pengurusan risiko yang bersepadu sepanjang kitaran hayat saluran paip gas juga adalah amat penting.
“Insiden ini mengingatkan kita bahawa walaupun piawaian kejuruteraan dan operasi yang tinggi diterapkan, sistem infrastruktur kritikal masih terdedah kepada risiko,” kata STI APM dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kejadian pukul 8.10 pagi semalam, letupan paip gas LPG bawah tanah mencetuskan kebakaran besar menyebabkan 145 penduduk cedera, kebanyakannya melecur akibat bahang api terlampau panas.
Api marak kebakaran itu menyebabkan 300 rumah penduduk, terutama sekitar Kampung Tengah dan Sungai Baru, yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi paip gas itu meletup, rosak termasuk 78 musnah sepenuhnya.
Selain perlindungan kawasan rizab paip atau ROW, STI juga mengingatkan, faktor pengurusan risiko integriti paip secara menyeluruh juga sangat penting bagi mengelakkan insiden sama berulang.
“Ia terutama membabitkan pendekatan holistik yang merangkumi reka bentuk, pemeriksaan berkala, penyelenggaraan berasaskan ramalan, pemantauan masa nyata, dan analitik data perlu diperkukuh bagi mengelakkan kejadian sebegini.
“Ketahanan masa depan (paip gas) juga mesti bersifat menyeluruh dan inovatif supaya pelaburan berterusan dalam teknologi pintar, kerjasama rentas agensi dan kesiapsiagaan institusi adalah kunci kepada keselamatan infrastruktur,” kata STI.
Dalam pada itu, walaupun tiada kematian, STI APM turut melahirkan kebimbangan berhubung insiden tersebut yang menyebabkan kecederaan serius serta kerosakan besar kepada kediaman dan kawasan sekitar.
Kluster STI turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada semua mangsa dan keluarga yang terjejas.
STI APM turut meminta orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih agar pihak berkuasa dapat menjalankan tugas dengan efisien dan profesional.
“Ini adalah masa untuk menunjukkan empati dan solidariti nasional. Keutamaan kini ialah membantu mangsa dan mengambil pengajaran daripada insiden ini untuk memperkukuh sistem keselamatan negara,” kata STI APM.
NNNN
