KUALA LUMPUR 2 April – Putra mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dan mengkaji punca insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights, Selangor kelmarin.
Presidennya Ibrahim Ali berkata, penubuhan RCI amat wajar kerana melalui suruhanjaya itu, siasatan akan lebih telus, terbuka serta mempunyai laporan atau cadangan untuk menge supaya insiden seumpama itu tidak berulang.
“Anggota RCI pula mesti terdiri daripada mereka yang benar-benar berwibawa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas Petronas sepanjang 500 meter (m) yang menyebabkan api menjulang tinggi serta memusnahkan banyak kediaman, kenderaan serta kecederaan awam,
Ibrahim pada masa yang sama juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka siasatan bagaimana pihak pemaju boleh mendapatkan kelulusan untuk membangunkan projek perumahan di kawasan paip Petronas.
Menurut Ibrahim, ada laporan mengatakan pihak polis akan menyiasat kontraktor tetapi yang penting adalah menyiasat pemaju iaitu pihak yang mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri.
Katanya walaupun projek itu didakwa mendapat kelulusan dan mengikut peraturan pada tahun 2022 tetapi adalah lebih baik siasatan dilakukan bagaimana pemaju boleh mendapatkan kelulusan.
Tanpa mahu menuduh mana-mana pihak, Ibrahim berharap SPRM dapat melakukan siasatan menyeluruh sama ada kemungkinan wujud elemen sogokan atau ‘duit kopi’ semasa meluluskan projek berkenaan.
“Saya bimbang elemen ini wujud dan pihak ketiga iaitu SPRM boleh menjalankan siasatan secara telus” katanya sambil menambah Petronas tidak sepatutnya dipersalahkan untuk membayar ganti rugi.
Ibrahim turut sedih dengan insiden itu serta beberapa peristiwa lain yang berlaku satu persatu dalam negara sejak kebelakangan ini yang seolah-olah negara ini semakin hilang keberkatan.
Nnnn