MENYELAK kembali kisah layanan terhadap Pak Cik OKU, Pak Cik PetaI, Abang Belon, timbul persoalan di manakah nilai kemanusiaan, adab dan budaya Melayu ketika ‘melayani’ karenah insan kerdil yang ‘tidak punyai apa-apa’.
Benar tugas penguat kuasa mengambil tindakan mengikut undang-undang. Tiada siapa boleh pertikaikan. Yang bersalah itu mesti dihukum walaupun kesalahannya mencuri susu untuk anak yang sedang kelaparan.
Tetapi ketika bertindak di mana hilangnya budaya dan adab ketika berdepan manusia yang hanya bersenjatakan belon, petai, mulut atau tingkah laku?
Mereka itu bukannya bersenjata parang, pistol atau bom tangan, paling tidak hanya bertopi keledar, tangan, kaki atau tingkah laku serta tutur kata yang menyakitkan, lebih kepada mengundang provokasi serta menguji kesabaran.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika menangkap anjing liar pun menggunakan kaedah yang tidak menyakitkan supaya tidak dikecam oleh pejuang kemanusiaan walaupun anjing liar sudah menerkam kanak-kanak, orang tua atau kucing di laman.
Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Pak Cik OKU yang dilayan bagaikan binatang dengan sepak terajang oleh manusia yang beragama dan berakal. Mereka ini umpama ‘singa lapar’ yang pantas menerkam mangsa.
Pak Cik OKU dengan masalah mental dibelasah beberapa individu dalam satu kejadian di pasar tani di Chukai, Terengganu. Dia didakwa menunggang motosikal secara berbahaya ketika orang ramai sibuk membeli-belah di pasar tani tersebut.
Di Port Dickson Pak Cik Petai ‘mengamuk’ dengan membuangpetai di jalan raya kerana tidak dibenarkan berniaga oleh pihak berkuasa tempatan di satu lokasi yang sebelum itu ada pihak mengadu kerana berniaga di hadapan kedai orang lain.
Dan di Kuala Lumpur baru-baru ini, Abang Belon menerima nasib yang sama seperti Pak Cik OKU, apabila dia ‘dibelasah’ oleh pasukan penguat kuasa kerana berniaga tanpa lesen dan didakwa mengganggu.
Begitu jugalah kisah Abang Air dan tisu serta Mak Cik Nangka yang menjadikan pihak berkuasa mangsa melepaskan marah kerana ditegur berniaga tanpa lesen atau tidak di kawasan sewajarnya.
Nampak gaya dalam kalangan masyarakat kita ada jiwa kacau. Apa puncanya sehingga manusia hilang sabar dan bertindak ikut nafsu? Lupakah kita enam Rukun Malaysia MADANI – Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan?
Sama ada penguat kuasa atau peniaga, kita adalah manusia yang dididik untuk menghomati orang lain. Yang salah tetap salah tetapi sama ada yang ‘menyerang atau diserang’ bertindaklah secara adil dan bijaksana.
Bagi peniaga sama ada kecil atau besar, mereka terkait dengan perniagaan yang memerlukan kelulusan PBT sama ada bertaraf majlis perbandaran, bandar raya atau majlis daerah sebelum berniaga di mana sahaja.
Mereka yang berniaga secara kecilan bagi ‘meraikan’ sesuatu situasi bukanlah seperti Mak Cik Kiah yang menjual goreng pisang di warungnya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu. Begitu juga Pak Salleh yang ada restoran mi kolok.
Pak Cik Petai dan Abang Belon berniaga untuk sara hidup umpama kais pagi makan pagi, bukannya mempunyai restoran atau gerai tetap sebaliknya bergerak di mana dirasakan ada rezeki sekupang dua yang sedang menunggu.
Sudah menjadi lumrah, pada acara besar sempena pelbagai sambutan seperti perarakan Hari Kebangsaan, Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Thaipusam, pesta atau pameran malahan ceramah, akan ada penjaja kecil.
Mereka biasanya berkeliaran, mundar mandir menjaja air, ais krim, buah potong, burger, belon, keropok, mainan kanak-kanak malahan minyak angin. Sah mereka tidak ada gerai tetap di acara itu kerana ia tentu perlukan kos sewa tapak
Bagi yang mempunyai jenis perniagaan yang agak besar, mereka sudah tentu memiliki lesen kerana ditempatkan di petak atau lot yang disewa.
Adakah setiap penjaja kecil yang muncul sekali sekala di lokasi atau acara tertentu – hari ini jual belon, esok lusa jual kacang – memerlukan lesen? Atau sekadar patuh arahan dan peraturan? Apa pula syarat-syarat lesen.
Jika perlu lesen dengan bayaran, adakah berbaloi bagi penjaja yang menjual belon, air, tisu dan sebagainya mendapatkan lesen berbayar sedangkan hasil tidak seberapa? Jangan orang melihat ada penindasan atau pilih kasih.
Berdasarkan pelbagai video yang tular selepas insiden Pak Cik Petai dan Abang Belon, tidak mungkin PBT mampu ‘membersih’ atau menghalang peniaga tanpa lesen. Sebab itu muncul pelbagai reaksi masyarakat terhadap penguatkuasaan.
Justeru bertindaklah secara berhemah. Ketika jiwa manusia sedang ‘kacau’ ikutlah prosedur operasi standard (SOP) yang tidak menyakitkan dan menimbulkan kemarahan orang lain. Terapkan nilai-nilai Rukun MADANI.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR BATIN
Nnn