KUALA LUMPUR 29 Mac – “Berat sangat ke kesalahan dia (abang jual belon) ni? Berat sangat ka sampai nak ditolak ke bawah , sampai dia berguling, ramai-ramai nak tangkap dia sorang,” Itu reaksi Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh selepas menyaksikan video kekecohan di Jalan Tunku Abdul Rahman malam tadi.
Beliau merujuk video kekecohan yang melibatkan sekumpulan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwanya bertindak seperti binatang ketika mahu menahan lelaki yang menjual belon di kawasan berkenaan.
Justeru beliau berkata, Pemuda UMNO akan menuntut keadilan bagi ‘abang jual belon’ itu dan memohon sesiapa yang mengenali abang belon ni, memaklumkan kepadanya bagi membolehkan peguam Pemuda UMNO menuntut keadilan.
“Kamu nak tunjuk kuasa kamu,nak tunjuk hebat pada peniaga kecil, tak apa kami akan bela hak mereka ini,” katanya dalam satu hantaran video dalam laman media sosialnya hari ini.
Dr Akmal Saleh yang cukup kesal dan sedih dengan kejadian itu turut bertanyakan kepada menteri berkenaan tindakan kasar begitu merupakan prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa tempatan tersebut.
“Mereka ini yang buat ni sama ada, ada lesen, tidak ada lesen, betul itu salah mereka – kalau tidak ada lesen, tak ada permit. Tetapi kita ni sebagai manusia, ada belas ihsan. Ni kan nak musim raya, biarlah kalau dia nak berniaga sekali pun.
Dia diperlakukan seperti binatang, dia pun ada anak, ada isteri, ada juga saudara-mara. Kalau saudara-mara dan anak tengok dia diperlakukan begini apakah perasaan mereka, dah tentu mereka sedih,” kata Dr Akmal yang melihat video tular itu Subuh tadi.
Dalam rakaman video tular itu, penjual belon itu dikasari sehingga dia terjatuh dan berguling di atas jalan raya.
Situasi cemas dan ‘panas’ itu mendorong orang ramai berkerumun bagi meredakan keadaan dan kedengaran seorang orang awam menjerit “Apa korang buat macam ni. Orang tu berniaga je. Kalau mati orang tu macam mana,” .
Dr Akmal berkata, lelaki penjual belon itu adalah manusia dan bukan binatang yang boleh diperlakukan begitu rupa.
“Tolonglah ada belas ihsan. Dua, tiga jam (berniaga). Berapalah dia dapat,” kata Dr Akmal.
Beliau turut mengecam DBKL yang tidak mengambil tindakan sama kepada segelintir peniaga kaki lima yang berniaga bertahun-tahun di tempat lain sebaliknya
hanya tunjuk ‘hero’ kepada peniaga-peniaga kecil yang meraih jualan tidak seberapa pun.
Nnnn