KUALA LUMPUR 29 Mac – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu lebih prihatin, peka dan berhemah serta mencari jalan untuk memudahkan peniaga-peniaga kecil mencari rezeki pada musim-musim perayaan tertentu.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata, lesen-lesen sementara boleh dikeluarkan untuk membolehkan mereka berniaga di tempat-tempat tertentu untuk suatu tempoh yang terhad.
“Semasa pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional, Kementerian Wilayah Persekutuan melaksanakan inisiatif Wilayah Bebas Berniaga dengan mengeluarkan lesen-lesen sementara kepada para penjaja bagi suatu tempoh tertentu untuk memudahkan penjaja kecil menjalankan perniagaan di Wilayah Persekutuan.
Inisiatif ini dilaksanakan untuk meringankan beban rakyat yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.
Bekas Perdana Menteri itu mengulas video mengenai seorang penjaja belon dipercayai telah dikasari oleh pihak penguat kuasa yang viral di media sosial hari ini.
“Saya berasa sedih melihat insiden ini lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini. Tidak wajar kekasaran sebegitu rupa digunakan ke atas seorang penjaja tepi jalan yang kesalahannya hanyalah menjual belon.
Setiap kali menjelang musim perayaan, ramai peniaga kecil cuba mencari rezeki. Tambahan pula dalam keadaan tekanan kos sara hidup dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat, inilah masanya untuk mereka menambah sedikit pendapatan,” katanya.
Muhyiddin berkata, dengan kebenaran berniaga secara sementara ini, bolehlah rakyat menambah pendapatan untuk menyara hidup bagi meringankan beban dihimpit kenaikan kos sara hidup pada masa ini.
“Yang penting ialah sikap prihatin kerajaan dalam membantu rakyat. Bila kerajaan prihatin, langkah-langkah tentu boleh diambil untuk memenuhi keperluan rakyat tanpa perlu mereka melanggar undang-undang untuk mencari rezeki sesuap nasi.
Saya berharap insiden malang seperti ini tidak berulang lagi,” katanya.
Nnnn