KOTA KINABALU 27 Mac – Peruntukan perbelanjaan sambutan ulang tahun kelahiran rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman, pada Selasa lalu telah dikurangkan sebanyak 30 peratus berbanding tahun lalu.
Pengerusi jawatankuasa induk sambutan itu, Dr Joachim Gunsalam, berkata jumlah acara juga dikurangkan daripada 12 pada 2024 kepada tujuh saja tahun ini.
Beliau berkata tujuh acara dianjurkan adalah acara lazim yang dilaksanakan sempena ulang tahun kelahiran rasmi Yang di-Pertua Negeri, sama seperti tahun-tahun sebelum ini.
Selain itu, Dr Joachim memaklumkan, acara sambutan juga akan diadakan dalam tempoh sebulan saja, iaitu pada Jun depan, dan bukannya selama tiga bulan.
Berdasarkan keputusan Kabinet Sabah, beliau berkata, program rasmi bagi sambutan ulang tahun kelahiran Musa tahun ini akan diadakan pada 21 Jun depan.
Sementara itu, Ketua Menteri, Hajiji Noor dalam kenyataannya malam tadi berkata, tarikh 30 Mac ditetapkan sebagai hari kelepasan am bagi negeri Sabah sempena sambutan ulang tahun rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Katanya , memandangkan tarikh itu jatuh pada hari Ahad, hari berikutnya akan menjadi hari kelepasan am gantian untuk negeri ini.
“Kerajaan negeri menetapkan, sekiranya hari berikutnya itu juga adalah hari kelepasan am, maka tarikh 2 April (Rabu) adalah hari kelepasan am bagi negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata, penetapan terbabit dibuat selaras dengan peruntukan dalam Jadual Pertama, Ordinan Hari Kelepasan (Bab 56).
