KUALA LUMPUR 27 Mac – Penyelesaian dalam isu berkaitan tapak Masjid MADANI di Jalan Munshi Abdullah, di sini bukan untuk menunjukkan kemenangan atau keangkuhan sebaliknya mempamerkan kebijaksanaan, kekuatan dan kemuliaan Islam.
Anwar Ibrahim berkata, cara penyelesaian yang baik termasuk membabitkan isu sensitif di tapak yang turut menempatkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman itu bukanlah tanda kelemahan seperti didakwa sesetengah pihak.
Perdana Menteri berkata, dalam menyelesaikan isu membabitkan tapak Masjid MADANI itu, Kerajaan memilih untuk menjaga keharmonian dan berunding secara baik.
“Itu (penyelesaian dicapai dalam isu tapak Masjdi MADANI) bagi saya ‘falah’ (kejayaan), bila kita dapat muncul sebagai contoh yang baik.
Orang Islam peribadinya baik, ihsan, penyayang dan adil, bukan contoh bengis dan benci,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid MADANI.
Menurut Anwar arahan beliau dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar (Kuala Lumpur) adalah berunding dengan baik.
“Dengan apa cara dan helah pun, runding dengan baik dan mencari penyelesaian baik itu bukan tanda kelemahan sepertimana yang disanggah oleh sebahagian kelompok tertentu.
“Penyelesaian cara aman, beradab, berakhlak itu nilai MADANI. MADANI itu bukan saja bicara soal kemampanan, pertumbuhan ekonomi, teknologi dan digital tetapi juga nilai akhlak, rahmah dan ihsan bukan saja kepada umat Islam tetapi juga kepada masyarakat,” katanya.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini memberi jaminan menyelesaikan isu pembangunan tanah milik Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel) bagi tujuan pembinaan masjid berkenaan yang turut menjadi tapak kuil
Susulan itu, pada Selasa lalu, Jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman bersetuju untuk berpindah ke lokasi baharu yang dipersetujui dalam perbincangan dengan DBKL berkeluasan 4,000 kaki persegi itu, kira-kira 50 meter dari lokasi asal.
Pada masa sama, Perdana Menteri merakam penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam menyelesaikan isu berkenaan dan berharap Masjid MADANI bukan saja akan menjadi rumah ibadah bagi umat Islam tetapi sebagai pusat ilmu, melalui pembinaan dewan persidangan dan forum, selain untuk seni dan budaya.
Pembinaan Masjid MADANI dijangka mengambil masa dua tahun dan apabila siap mampu menampung sehingga kira-kira 2,900 jemaah pada satu-satu masa.
Berkonsepkan initi pati Malaysia, Masjid MADANI setinggi empat tingkat akan dilengkapi ruang solat, dewan acara, pejabat dan kemudahan asas lain.
Nnn
