AYER KEROH 26 Mac – Kerajaan bersetuju memberi potongan kadar tol musim perayaan sebanyak 50 peratus selama dua hari sempena Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata diskaun berkenaan berkuat kuasa pukul 12.01 tengah malam 28 Mac dan berakhir pada pukul 11.59 malam, 29 Mac membabitkan implikasi kewangan RM19.69 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terbabit.
“Inisiatif itu membabitkan kenderaan kelas satu di semua plaza tol kecuali di sempadan negara,” katanya selepas mengadakan tinjauan ke syarikat konsesi penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Pejabat Operasi Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd, hari ini.
Tol yang dikecualikan adalah Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara Selatan dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Katanya , pemberian diskaun tol ini adalah kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang diberikan oleh kerajaan bagi keempat-empat perayaan utama di negara ini sejak 2023, dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
Alexander berharap, semua pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan diskaun tol itu dengan sebaiknya serta merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan di lebuh raya khususnya pada cuti panjang musim perayaan ini.
Beliau menasihatkan pengguna lebuh meneliti beberapa panduan pergerakan sebelum memulakan perjalanan.
Panduan itu termasuklah mengikut jadual waktu perjalanan oleh syarikat konsesi lebuh raya, memastikan kenderaan dalam keadaan baik, memastikan baki e-dompet dan Kad Touch & Go selain bateri smart-tag mencukupi, menggunakan pautan paparan CCTV Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) mengenai keadaan lebuh raya sebagai panduan sebelum dan semasa perjalanan.
“Pengguna juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan semasa di lebuh raya dan menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi LLM,” katanya.