549 lagi kes Omicron di Singapura

SINGAPURA 13 Jan. – Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan 960 kes baharu Covid-19 setakat pukul 12 tengah hari ini termasuk 479 kes import menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 289,085.

Sebanyak 549 kes baharu varian Omicron dilaporkan di mana 366 daripadanya adalah jangkitan tempatan manakala 183 lagi kes import.

Jumlah kes harian itu menunjukkan peningkatan berbanding dengan 882 yang direkodkan semalam di mana 481 adalah kes baharu dalam masyarakat.

Tiada kematian baharu dilaporkan dan jumlah yang meninggal dunia setakat ini kekal 839 orang.

Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan pula adalah 1.43, merosot berbanding 1.60 pada Rabu.

Sementara itu, sebanyak 172 pesakit masih dirawat di hospital, naik sedikit berbanding 167 semalam.

Sebanyak 14 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa, sembilan dipantau rapi di ICU manakala 850 pesakit dibenarkan keluar hospital.

Mengenai vaksinasi, setakat Isnin, sebanyak 91 peratus penduduk Singapura yang layak sudah melengkapkan vaksinasi mereka termasuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun selepas kumpulan usia itu mula divaksin minggu lalu.

Sebanyak 87 peratus lengkap divaksin 2 dos, 89 peratus menerima satu dos dan 49 peratus sudah mendapat dos penggalak.

Related posts

Leave a Comment