Cari titik persamaan, elak bibit perpecahan

SHAH ALAM 26 Mac –  Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan supaya masyarakat Islam mencari titik persamaan untuk diraikan dan mengelak daripada membesar-besarkan perkara kecil yang mampu membawa bibit perpecahan.

Baginda mengingatkan supaya mengelakkan sikap caci-mencaci dan memfitnah satu sama lain kerana ia akan menjadi barah membunuh perpaduan umat Islam.

“Usaha mengukuhkan persaudaraan dan perpaduan ini hendaklah diterajui pemimpin dalam kalangan umat Islam sendiri, sama ada pimpinan politik ataupun agama, kerana merekalah yang harus menjadi tauladan utama,” titah baginda

Justeru, baginda mengingatkan pemimpin Islam supaya tidak menjadi seperti’api dalam sekam’ dan menyebabkan pertelingkahan serta persengketaan dalam kalangan umat.

Baginda sebaliknya meminta umat Islam supaya bersama-sama memainkan peranan untuk mengekalkan perpaduan sedia ada di Selangor, dengan turut mencontohi ketinggian akhlak dan adab Nabi Muhammad SAW.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat, Penyampaian Sumbangan Hari Raya serta Perasmian Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah di Denai Alam, di sini, hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Sultan Sharafuddin turut bersyukur kerana berpeluang merasmikan tujuh masjid baharu di seluruh Selangor sepanjang Ramadan ini.

“Pada Ramadan ini juga, beta berkesempatan mengagihkan RM500 seorang kepada 75,207 asnaf fakir, miskin dan mualaf dari seluruh daerah Selangor, membabitkan perbelanjaan wang Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM35,273,200.

“Beta berharap ia dapat meringankan sedikit beban ditanggung asnaf bagi menyambut Aidilfitri nanti,” titah baginda.

Baginda juga menzahirkan kesyukuran kerana Lembaga Tabung Haji (TH) kini diterajui individu profesional dan berpengalaman dalam menguruskannya berbanding ‘orang politik’ sebelum ini.

“Beta berharap pengurusan dan pimpinan tertinggi TH terus bebas daripada pembabitan orang politik.

“Beta berdoa agar TH kekal sebagai sebuah institusi serta syarikat Islam yang berjaya dan dapat terus membantu umat Islam mengerjakan haji serta umrah, di samping memberikan pulangan dividen menguntungkan kepada pendeposit,” titah baginda.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 423 asnaf di daerah Petaling serta menerima zakat perniagaan berjumlah RM7.65 juta daripada empat syarikat korporat.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment