Perak tolak spekulasi bubar DUN

IPOH 23 Nov.  – Kerajaan negeri yang masih mempunyai baki tempoh mandat kira-kira setahun menolak spekulasi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan selepas pembentangan Belanjawan 2027 negeri itu esok.

Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad berkata, setakat ini, tiada keperluan mendesak untuk beliau menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi memohon pembubaran.

Katanya , sebarang langkah memohon pembubaran perlu disokong oleh alasan yang kukuh serta munasabah.

“Perjalanan kita masih jauh. Kita masih ada masa setahun lagi,” katanya mengulas desas-desus pembubaran DUN selepas menghadiri program Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.

Saarani menegaskan, pembubaran DUN adalah hak mutlak Sultan Nazrin dan bukannya keputusan yang boleh dibuat secara bersendirian oleh Menteri Besar.

Beliau berkata, pihaknya hanya akan menghadap Sultan bagi memohon pembubaran sekiranya wujud sebab munasabah, seperti penarikan diri rakan strategik daripada Kerajaan Perpaduan sehingga menyebabkan pentadbiran negeri hilang majoriti.

“Itu adalah contoh alasan yang munasabah. Terserah kepada Tuanku sama ada mahu membubarkan DUN atau tidak. Itu hak mutlak baginda,” katanya.

Saarani turut menggesa orang ramai agar tidak terpengaruh dengan khabar angin atau maklumat palsu berhubung kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan lebih awal.

“Sebagai Menteri Besar, saya perlu mempunyai alasan yang kukuh untuk menghadap Tuanku bagi memohon pembubaran. Jika tidak, saya tidak boleh berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, sekiranya Menteri Besar memohon pembubaran DUN namun tidak diperkenankan oleh Sultan, beliau perlu meletakkan jawatan.

Ditanya sama ada kemenangan UMNO di beberapa negeri baru-baru ini boleh menjadi pemangkin untuk Perak mengadakan PRN lebih awal, Saarani berkata momentum politik semata-mata tidak memadai untuk dijadikan alasan membubarkan DUN.

“Kita tidak membubarkan DUN berdasarkan ‘mood’ seperti itu. Banyak faktor lain yang perlu diambil kira. Jika sekadar bergantung kepada ‘mood’, adakah kita sudah bersedia? ‘Mood’ satu perkara, persiapan pula perkara lain. Kita belum bersedia untuk pembubaran lagi.

“Jentera pusat daerah mengundi (PDM) belum bersedia dan kita juga tidak mempunyai peruntukan kewangan,” katanya.

Saarani berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga sudah menjelaskan bahawa kemenangan parti itu di tiga negeri tidak bermakna Pahang dan Perak perlu mengikut jejak langkah mengadakan PRN.

Mengulas sama ada PRN baru-baru ini menjejaskan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan Perak, Saarani memaklumkan tiada sebarang perubahan berlaku.

“Setakat ini tiada. Malah minggu lalu, ketika timbul khabar angin mendakwa saya sudah menghadap Tuanku, kami sebenarnya sedang bermesyuarat semasa laporan itu keluar,” katanya.

Kerjasama antara parti komponen kekal utuh dengan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berjalan seperti biasa.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment