Penjawat awam Johor terima RM1,000

ISKANDAR PUTERI 26 Mac – Sebanyak 20,821  penjawat awam negeri, termasuk yang berkhidmat di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Badan Berkanun Negeri akan menerima bantuan khas kewangan RM1,000 sempena Hari Raya Aidilfitri 2025.

Menteri Besar,  Onn Hafiz Ghazi berkata, pembayaran yang akan di salurkan pada minggu pertama Hari Raya Aidilfitri itu diharap dapat menjadi pemangkin terhadap penjawat awam negeri ini untuk terus berkhidmat penuh dedikasi.

“Sempena Hari Raya Aidilfitri ini, kerajaan negeri melalui pelbagai agensi juga memperuntukkan lebih RM30 juta bagi meringankan beban masyarakat dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan.

Ini termasuklah RM18.4 juta Bantuan Hari Raya Aidilfitri kepada 90,439 asnaf fakir dan miskin; Bantuan Khas Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM5.4 juta kepada 54,901 anggota barisan hadapan seperti polis, tentera, bomba, doktor dan jururawat serta RM3.4 juta sebagai bantuan one-off kepada 6,970 imam dan bilal.

“Bagi memastikan mahasiswa anak Johor dapat pulang beraya bersama keluarga, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM70,000.00 untuk Tajaan Pengangkutan Mahasiswa Anak Johor Pulang ke Kampung, dengan menyediakan 30 bas untuk membawa 550 mahasiswa,” katanya.

Menurut Onn Hafiz, peruntukan lain termasuk RM1.6 juta bagi pelaksanaan Jualan Kasih Johor, yang berlangsung di 57 lokasi yang akan memberi manfaat kepada 200,000 rakyat serta RM1.5 juta Bantuan Hari Raya Aidilfitri kepada 5,000 Orang Asli dari asnaf muallaf.

Selain itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM787,050.00 bagi inisiatif bakul makanan sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan diagihkan ke 15 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan tujuh Rumah Sewa Kerajaan (RSK) yang memberi manfaat kepada 15,741 penerima.

Sementara itu, sebanyak 3,749 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan menerima sebanyak RM3,000 yang akan diberikan serentak di enam daerah yang terjejas pada 27 Mac 2025 (Khamis).

Kerajaan Negeri Johor sebelum ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM11,247,000.00 bagi Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL).

(Foto: Ketua Isi Rumah mangsa banjir akan terima bantuan RM3, 000.

Nnn

Related posts

Leave a Comment