3.14 juta kenderaan dijangka masuk Pahang

KUANTAN 24 Mac – Kira-kira 3.14 juta kenderaan dijangka memasuki Pahang sempena cuti Aidilfitri bermula 27 Mac hingga 7 April depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Razali Kassim.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sejumlah 2.24 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak manakala 900,000 kenderaan akan melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1.

“Peningkatan itu bukan disebabkan rakyat Pahang pulang ke kampung tetapi pengguna jalan raya dari negeri lain yang menggunakan dua laluan ini. Sebagai peringatan, saya menasihati pengguna jalan raya supaya membuat perancangan tarikh dan masa untuk mengelak daripada kesesakan,” katanya.

Razali berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Keselamatan dan Ops Siaga Raya Aidilfitri 2025 anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di perkarangan sebuah pusat beli belah di sini, hari ini.

Kempen itu dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kaedah pencegahan kebakaran dan keselamatan jalan raya serta memberikan pendedahan awal kepada orang awam mengenai kaedah menangani situasi kecemasan dan kebakaran.

“Pada masa sama, ia menambah pengetahuan orang ramai mengenai keselamatan dan mendedahkan situasi sebenar dihadapi oleh anggota bomba dalam menjalankan tugas mereka,” kata Razali.

Nnn

Related posts

Leave a Comment